
Setiausaha akhbar kanan perdana menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata agenda reformasi kerajaan sedang berjalan dengan konsisten dalam tindakan yang berstruktur.
“Pencapaian hari ini adalah cerminan kepada pendekatan itu,” katanya, dalam taklimat harian PMO.
Tunku Nashrul seterusnya mengumumkan Malaysia berjaya merekodkan RM89.8 bilion pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2025 — meningkat 3.7% berbanding tahun lalu meskipun landskap global kian mencabar.
Pelaburan ini dijangka bakal menjana 1,600 projek baharu dan lebih 33,000 peluang pekerjaan.
Selain itu, dalam sektor mikroelektronik dan semikonduktor, Malaysia peroleh RM4.6 bilion potensi pelaburan dan RM507 juta potensi eksport, hasil penyertaan dalam eksposisi Semicon Southeast Asia 2025.
“Semua pengumuman ini bukti keyakinan pelabur terhadap dasar reformasi negara,” kata Tunku Nashrul.
Katanya lagi, kedudukan Malaysia pada tangga ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2025 bukti reformasi ekonomi dan birokrasi membuahkan hasil.
Dalam pada itu, PMO turut menyentuh mengenai cukai, dan berkata Malaysia antara negara dengan nisbah cukai kepada KDNK paling rendah di dunia iaitu sekitar 12%.
“Ini bermakna ruang penjanaan hasil masih sempit, dan peluasan cukai diperlukan demi memastikan kelanjutan fiskal negara,” katanya.
Namun, kata Tunku Nashrul, prinsip utama kerajaan adalah beban tidak akan ditanggung oleh rakyat terbanyak, dan hasil cukai digunakan semula untuk program pro-rakyat.
Beliau menarik perhatian kepada RM13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang memanfaatkan 9 juta penerima.
Turut dimaklumkan RM400 juta untuk baik pulih klinik-klinik usang, dan lebih RM600 juta untuk membaiki lebih 8,000 tandas sekolah yang memberi manfaat kepada lebih 5 juta pelajar.