Reman 5 termasuk anak MB dilanjut sehari

Reman 5 termasuk anak MB dilanjut sehari

Peguam Mohd Fadhly Yaacob berkata SPRM memohon lanjutan reman tujuh hari, tetapi mahkamah hanya membenarkan sehari untuk semua anak guamnya.

Suspek direman dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini untuk lanjutan reman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tempoh tahanan reman lima suspek, termasuk seorang anak menteri besar disambung sehari lagi sehingga esok bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan berjumlah RM600,000.

Tempoh reman itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar, selepas tempoh reman semua suspek tamat hari ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, seorang suspek bertugas sebagai pembantu teknik di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dipercayai berusia 20-an yang ditahan semalam dibebaskan hari ini.

“Suspek memberikan kerjasama baik dalam hal ini,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, anak seorang menteri besar antara enam individu direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen membabitkan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga kini yang menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Peguam Mohd Fadhly Yaacob yang mewakili semua suspek berusia 27 hingga 37 tahun itu berkata, ini fasa sambungan reman terakhir bagi anak guamnya.

Katanya, SPRM memohon lanjutan reman tujuh hari, tetapi mahkamah hanya membenarkan sehari.

“Ini adalah untuk segala siasatan anak guam saya diselesaikan dengan segera dan selepas esok anak guam saya harus dilepaskan. Setakat ini, hanya seorang anak guam saya dibebaskan.”

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Putrajaya, Azmi Kamaruzaman mengesahkan sambungan reman itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.