Ibu bapa protes pengurangan DLP di sekolah

Ibu bapa protes pengurangan DLP di sekolah

Ibu bapa terbabit membuat bantahan secara aman di pekarangan SK Damansara selepas mendakwa anak mereka diketepikan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Noor Azimah Abdul Rahim berkata ibu bapa adalah pihak berkepentingan tetapi tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. (Gambar Noor Azimah Abdul Rahim)
PETALING JAYA:
Sekumpulan ibu bapa mengadakan bantahan di pekarangan SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur, sebagai tindak balas terhadap pengurangan program dwibahasa (DLP) di sekolah itu, keputusan yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan mereka.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim, yang turut hadir pada bantahan itu berkata perubahan terbaru oleh Kementerian Pendidikan menyekat capaian program berkenaan.

“DLP telah dilaksanakan sepenuhnya di SK Bukit Damansara sejak 2016,” katanya, sambil menambah perubahan baru-baru ini telah mengehadkan program itu di sekolah terbabit kepada 30 pelajar dalam satu kelas.

DLP diwujudkan untuk menawarkan pelajar di sekolah terpilih mempelajari mata pelajaran seperti matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

“Anak-anak kami belum diberikan (akses kepada) DLP. Mereka telah diketepikan,” kata salah seorang yang menyertai bantahan.

“Ibu bapa dan penyokong program DLP berada di sini di perkarangan sekolah, menjalankan bantahan secara aman,” kata ibu bapa lain.

Sementara itu, Azimah mendakwa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang sepatutnya dijadualkan melancarkan acara di sekolah tersebut tidak hadir.

Azimah juga berkata, mengikut Akta Pendidikan 1996, ibu bapa adalah pihak berkepentingan yang diiktiraf, tetapi menteri dan timbalannya tidak pernah menganggap mereka seperti itu.

Azimah berkata, guru besar sekolah itu memanggil polis untuk memastikan ketenteraman, walaupun protes diadakan secara aman.

“Hanya dua pegawai yang hadir. Mereka hanya mengambil gambar kami dan beredar selepas itu. Mereka tidak bersikap kasar,” katanya.

Sebelum ini, Azimah berkata keputusan membatalkan sekolah pengantar bahasa Inggeris demi mempromosikan bahasa Melayu dalam pendidikan merugikan negara.

Beliau berkata, pada 2003 perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Sembilan tahun selepas ia diperkenalkan, dasar itu diubah semula oleh Muhyiddin Yassin, timbalan perdana menteri ketika itu.

Pada 2016, Muhyiddin memperkenalkan DLP, yang membolehkan ibu bapa memilih bahasa pengantar.

Sejak itu, Fadhlina menolak gesaan untuk menyemak semula garis panduan DLP, dengan berkata pelaksanaannya menyokong objektif kementerian untuk memartabatkan bahasa Melayu sambil meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.