Ibu bapa perlu bantuan lindung anak daripada bahaya internet

Ibu bapa perlu bantuan lindung anak daripada bahaya internet

Ibu bapa mengakui sukar kawal anak setiap masa daripada bahaya internet.

kids infront of
Kanak-kanak adalah golongan paling terdedah kepada bahaya internet tanpa sempadan. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Ibu bapa memerlukan lebih banyak bantuan bagi memastikan penggunaan internet anak-anak di rumah selamat.

Tinjauan FMT mendapati, mereka bimbang dengan pendedahan tanpa kawalan kepada kandungan berbahaya, tidak senonoh dan penipuan dalam talian.

Kebanyakan ibu bapa mengakui sukar memantau sepenuhnya penggunaan gajet terutama bagi mereka yang bekerja dan terpaksa meninggalkan anak-anak di rumah.

Siti Noormaliana Rashid.

Siti Noormaliana Rashid, 39, berkata kerjayanya sebagai jururawat menuntut masa yang lama di hospital sekali gus membataskan kawalan ke atas penggunaan internet anak-anak.

“Saya sangat risau, lebih-lebih lagi bila bekerja dan terpaksa tinggalkan mereka di rumah. Kita tak boleh kawal penggunaan telefon sepenuhnya. Kita tak tahu apa yang mereka tonton,” katanya.

Siti Salwa Zakaria.

Pegawai kewangan, Siti Salwa Zakaria, 39, akur penggunaan internet kini menjadi keperluan khususnya bagi tujuan pembelajaran.

“Anak-anak menggunakan internet untuk buat kerja sekolah. Sekarang kelas pun ada kumpulan WhatsApp sendiri, jadi kalau kita sekat internet, mereka tak dapat maklumat itu.

“Kita kena ikut peredaran zaman. Mahu atau tidak kita kena terima internet ada buruk dan baik,” kata ibu empat anak berusia bawah 16 tahun.

Ramesh Rajan.

Pendekatan berbeza pula diambil Ramesh Rajan, 41, yang mengehadkan akses internet kepada anak-anaknya berusia enam hingga 14 tahun.

“Anak-anak saya berkongsi sebuah telefon tanpa internet. Jika perlukan internet, mereka akan menggunakan telefon isteri saya sambil dipantau.

“Saya risau mereka tersalah tekan kandungan yang bukan-bukan atau terpedaya dengan penipuan,” kata kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Walaupun Ramesh dan isteri berusaha mengehadkan penggunaan internet di rumah, mereka merasakan anak-anak tetap terdedah kepada kandungan internet yang tidak sepatutnya.

Untuk rekod, sepanjang Januari hingga September 2025, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menurunkan lebih 1,400 bahan lucah melibatkan kanak-kanak.

Kajian Unicef dan Interpol mendedahkan 91% kanak-kanak Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun menggunakan internet setiap hari dan 70% daripada mereka terdedah kepada kandungan berbahaya.

Adam Haris Rahman.

Sementara itu, pelajar Tingkatan 6 sebuah sekolah di Setapak, Adam Haris Rahman, 20, berpandangan walaupun teknologi menawarkan pelbagai kemudahan, kanak-kanak masih memerlukan perlindungan yang berkesan terutama campur tangan kerajaan.

“Di luar negara seperti China, kerajaannya membataskan penggunaan media sosial seperti TikTok. Ia boleh bataskan pengguna (rakyat) daripada capaian atau isi kandungan yang tidak elok. Mengapa tidak kerajaan kita buat pendekatan serupa?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.