Bekas ahli majlis Maidam, isteri mengaku tak salah buat tuntutan palsu agihan zakat

Bekas ahli majlis Maidam, isteri mengaku tak salah buat tuntutan palsu agihan zakat

Mohamad Zahari Harun, 64, dan Lydia Irmawati Mahmud, 41, membuat pengakuan itu selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu membenarkan Mohamad Zahari Harun, 64, dan Lydia Irmawati Mahmud, 41, diikat jamin RM7,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin. (X pic)
PETALING JAYA:
Bekas ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyalahguna kuasa dan mengemukakan tuntutan palsu berhubung agihan zakat hampir RM20,000.

Mohamad Zahari Harun, 64, dan Lydia Irmawati Mahmud, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman, menurut Berita Harian.

Zahari didakwa menggunakan kedudukannya dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan melantik syarikat Amcare Agency sebagai ejen kutipan zakat pada Mesyuarat Jawatankuasa Zakat Maidam kali keempat 2019, dengan syarikat itu milik isterinya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 September 2019 di Pejabat Maidam di sini di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, membabitkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Lydia Irmawati yang juga pemilik syarikat berdepan lapan pertuduhan menipu bagi bayaran balik bahagian fakir miskin kepada Maidam berjumlah hampir RM20,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara Disember 2020 sehingga Disember 2021 dan dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM7,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport serta melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan sepanjang prosiding berlangsung.

Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.