Pembantu tadbir didakwa rasuah, buat tuntutan palsu lebih RM400,000

Pembantu tadbir didakwa rasuah, buat tuntutan palsu lebih RM400,000

Sharudin Ibrahim mengaku tidak bersalah terhadap 77 pertuduhan dikemukakan.

seremban court
Sharudin Ibrahim, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 77 pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dan membuat tuntutan palsu lebih RM400,000. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 77 pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dan membuat tuntutan palsu lebih RM400,000.

Bagaimanapun, tertuduh, Sharudin Ibrahim, 50, yang bertugas di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Jelebu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari, menurut Harian Metro.

Berdasarkan 15 pertuduhan, dia didakwa menggunakan jawatannya untuk menerima suapan wang berjumlah keseluruhan RM55,815 kepada syarikat perniagaan atas nama isterinya.

Ia sebagai pembayaran bagi 15 perkhidmatan seperti penyewaan dan penyelenggaraan komputer riba kegunaan pusat pemberian vaksin, perkhidmatan sewa desktop kegunaan pejabat kesihatan, perkhidmatan penyediaan makanan dan minimum, perkhidmatan sewaan bot dan rumah bot ke Pulau Redang, cenderahati bagi beberapa program, percetakan risalah berkaitan program kesihatan serta percetakan baju.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mengikut 62 pertuduhan lagi, dia didakwa menggunakan jawatannya dengan mengemukakan 62 dokumen arahan pembayaran pelbagai perkhidmatan seperti penyediaan makanan dan minuman bagi beberapa program, percetakan risalah serta pembekalan racun rumpai berjumlah keseluruhan lebih RM340,000.

Ia dengan niat untuk mengelirukan prinsipalnya yang mana sebenarnya pembekalan perkhidmatan terbabit tidak dibuat.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) akta yang sama.

Jika disabitkan boleh dipenjara tidak 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu jika butir matan palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Semua kesalahan dilakukan sejak Oktober 2022 hingga 2023 di PKD Jelebu, dekat Kuala Klawang, Jelebu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fatin Nur Athirah Zainuddin mencadangkan jaminan RM235,000 bagi semua pertuduhan dengan dua syarat tambahan.

Peguam Muhammad Irham Redzuan bagaimanapun memohon ia dikurangkan kepada RM15,000 dengan alasan tertuduh kini tiada pendapatan tetap kerana mengambil cuti tanpa gaji selama setahun.

Menurutnya, tertuduh juga bergantung dengan isteri yang bekerja sebagai pembantu penyelia makanan dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Hakim kemudiannya membenarkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain isteri, bersama syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport.

Mahkamah menetapkan 8 Dis sebagai sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.