
Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Pathmanathan berkata, PBAPP boleh melepaskan maksimum 600 juta liter air mentah sehari (JLH) dari EMD yang berfungsi sebagai sumber sokongan kemarau apabila Sungai Muda terus menyusut akibat cuaca kering.
“Sehingga Selasa lepas, paras Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang PBAPP di Seberang Perai turun kepada 1.72m, iaitu di bawah paras selamat 2m dan semalam paras air Sungai Muda turun kepada 1.61m di Lahar Tiang.
“PBAPP terus mengabstrak air mentah mencukupi dari sungai tanpa menggunakan EMD, bagaimanapun PBAPP juga berjaya menjalankan percubaan pelepasan dari EMD sebagai persediaan untuk senario kes lebih teruk,” katanya dalam kenyataan.
Ketika ini, beliau berkata, PBAPP mengekstrak kira-kira 1,200 JLH dari Sungai Muda untuk pengeluaran optimum air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan LRA itu menghasilkan 85% air terawat yang diagihkan di negeri ini setiap hari.
Pathmanathan berkata, kapasiti pelepasan maksimum dari EMD ialah 600 JLH atau kira-kira 50% daripada air mentah diperlukan LRA Sungai Dua untuk beroperasi secara optimum.
Selagi PBAPP dapat mengekstrak 600 JLH air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan 600 JLH dari EMD, pihaknya dapat mengelakkan gangguan bekalan air di negeri ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat itu tetap bersiap siaga kerana Sungai Muda merupakan sumber air mentah utama Pulau Pinang, selain memantau paras sungai dengan teliti.
Selasa lalu, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) memaklumkan paras Sungai Muda menunjukkan trend penurunan dan berisiko terjadi gangguan bekalan air di daerah Kuala Muda serta penurunan itu akibat faktor kemarau berterusan.
Semalam, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, bekalan air di Pulau Pinang tidak terjejas setakat ini, walaupun paras air Sungai Muda melibatkan pengoperasian LRA Sungai Petani dan Pinang Tunggal menunjukkan trend penurunan.