2 beranak maut MPV bertembung lori

2 beranak maut MPV bertembung lori

Polis menahan pemandu lori untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Keadaan Toyota Alphard dinaiki dua beranak bersama empat penumpang lain dalam kemalangan di Jalan Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu, malam tadi. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Dua beranak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu, malam tadi.

Ketua Polis Bandar Baharu, Azmi Mokhtar berkata, kejadian itu berlaku pada 8 malam membabitkan Toyota Alphard dipandu lelaki 55 tahun bersama lima penumpang, termasuk ibunya berusia 85 tahun.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah Serdang menghala Bandar Baharu.

“Lokasi kejadian mempunyai lampu jalan dan laluan dua hala. Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Alphard dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan dan bergesel sisi kanan lori.

“Kemalangan itu menyebabkan Toyota Alphard itu terbabas ke kiri jalan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mayat pemandu Toyota Alphard dan ibunya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

Katanya, pemandu lori 43 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.