ETS terkandas, KTMB tawar pemulangan tambang penuh

ETS terkandas, KTMB tawar pemulangan tambang penuh

Keretapi Tanah Melayu Berhad turut menyarankan penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium untuk membuat tuntutan insurans.

KTMB menjelaskan bahawa gangguan yang berlaku disebabkan talian elektrik terputus dan menghalang komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang.
PETALING JAYA:
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan pemulangan tambang secara penuh kepada penumpang berikutan perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang tergendala pada malam raya.

“Kesulitan itu amat dikesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh. Mereka diminta untuk menghantar permohonan ke emel [email protected],” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KTMB, pihaknya setakat ini masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian berkenaan yang berlaku antara laluan Kamunting dan Bukit Merah itu.

“Seperti dimaklumkan melalui kenyataan rasmi kami, gangguan ini disebabkan oleh talian elektrik (alat talian asas) yang terputus dan membataskan komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang.

“Tetapi kru tren bertugas sudah mengambil langkah untuk membuat pengumuman di setiap gerabak bagi menyampaikan maklumat berkenaan situasi yang berlaku,” katanya.

Tambahnya, khidmat pesanan ringkas (SMS) turut dihantar kepada penumpang yang terkesan.

“Lokomotif bantuan juga sudah dihantar namun gagal untuk menyelamatkan tren ETS yang terkandas, manakala pemindahan penumpang ke tren ETS bantuan terpaksa dilakukan dengan dibantu oleh kru tren dan kakitangan KTMB yang dihantar ke lokasi,” katanya.

Selain itu, KTMB turut menyarankan penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium untuk membuat tuntutan insurans.

Dalam kejadian Selasa lalu, segelintir pengguna ETS KL-Butterworth menyuarakan rungutan bahawa KTMB lambat bertindak selepas perkhidmatan tergendala kira-kira empat jam.

Mereka mendakwa penumpang dibiarkan dalam keadaan berpanas tanpa lampu dan air terlalu lama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.