Agong berkenan rasmi, pandu ETS3 ke Kluang

Agong berkenan rasmi, pandu ETS3 ke Kluang

Sultan Ibrahim mengambil masa kira-kira 3 jam 3 minit untuk memandu tren elektrik itu dari Stesen Kuala Lumpur ke Kluang.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bernama pic 23825
Sultan Ibrahim memandu sendiri tren ETS3 yang berkeupayaan mencapai kelajuan hingga 140 km/j dari Stesen Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat merasmikan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi laluan selatan di Stesen Kuala Lumpur di sini.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Ibrahim di Stesen Kuala Lumpur pada 7.45 pagi disambut Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Usai Majlis Peluncuran Khas ETS3, Sultan Ibrahim berkenan memandu sendiri tren ETS3 yang berkeupayaan mencapai kelajuan hingga 140 km/j itu, menuju ke Stesen Kluang di Johor.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum berlepas dari Kuala Lumpur untuk merasmikan ETS3 KTMB laluan Selatan di Kluang. (Gambar Bernama)

Mengiringi Seri Paduka Baginda dalam pemanduan yang mengambil masa kira-kira 3 jam 30 minit itu ialah Loke, Shamsul Azri dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Jana Santhiran Muniayan.

Di Stesen Kluang, Sultan Ibrahim dijadual berkenan menyempurnakan perasmian Laman Rel Mahkota, sebuah taman awam ikonik sepanjang 2.8 kilometer yang dibangunkan di bawah jajaran viaduct Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

Selepas majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda kemudian dijadual berangkat pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki ETS3.

Sultan Ibrahim sebelum ini mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Sultan pertama di negara ini memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada 2010 dan pernah memandu kereta api pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010).

Seri Paduka Baginda memperoleh lesen memandu kereta api serta melakukan prosedur turn table bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan sekali gus diiktiraf sebagai sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari.

Selasa lepas, Sultan Ibrahim turut berkenan memandu ETS2 dari Kuala Lumpur ke Rawang.

Loke sebelum ini dilaporkan berkata kedua-dua set tren ETS3 jenis Electric Multiple Unit (EMU) bagi laluan selatan ke Johor Bahru Sentral, sedang menjalani ujian teknikal dan sekiranya semua berjalan lancar, ia akan mula beroperasi bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.