
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan, mangsa berusia lingkungan 40an itu dikenal pasti setelah waris melakukan pengecaman, lapor Sinar Harian.
Semalam dilaporkan seorang lelaki maut setelah dirempuh tren KTMB sekitar 6 pagi, ketika kereta api itu dalam perjalanan dari Ipoh ke arah utara.
Menurut Abang Zainal Abidin, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu daripada KTMB selepas pemandu kereta api itu memaklumkan terdengar dentuman kuat di lokasi.
Pemandu itu bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti objek disebabkan keadaan gelap dan berkabus, tambahnya.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemukan serpihan anggota badan manusia bersama barangan peribadi dipercayai milik mangsa,” katanya.
Beliau hari ini berkata, pemeriksaan mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Tambahnya, bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati mangsa meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan.