
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu daripada KTMB selepas pemandu tren memaklumkan terdengar dentuman kuat di lokasi itu.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar 6 pagi ketika tren dalam perjalanan dari Ipoh ke arah utara, tambahnya.
“Pemandu tren terdengar dentuman kuat pada bahagian hadapan, namun tidak dapat mengenal pasti objek disebabkan keadaan gelap dan berkabus.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemukan serpihan anggota badan manusia bersama barangan peribadi dipercayai milik mangsa,” katanya, lapor Bernama.
Menurut Abang Zainal Abidin, mangsa dipercayai lelaki berdasarkan pada pakaiannya, namun identitinya belum dikenal pasti.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian dijalankan oleh Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) IPK Perak dan pasukan patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Cebisan anggota badan dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk proses bedah siasat yang dijadualkan hari ini, tambahnya.
“Setakat ini tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” kata Abang Zainal Abidin.
Sehubungan itu, polis menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Mohd Safrizal Mohd Saad menerusi talian 017-3446 790, Balai Polis Chemor atau Ibu Pejabat Polis Ipoh bagi tujuan pengecaman dan pengesahan identiti mangsa.