Wanita minta cerai ditetak suami dengan parang

Wanita minta cerai ditetak suami dengan parang

Mangsa luka di dahi dan menerima 10 jahitan dalam kejadian di Dungun, Ahad lepas itu.

Menurut Ketua Polis Dungun Maizura Abdul Kadir, pihaknya kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU:
Seorang buruh bertindak menetak isterinya menggunakan parang dipercayai selepas mangsa meminta cerai dalam kejadian di Ketengah Jaya, Dungun, Ahad lepas.

Ketua Polis Dungun, Maizura Abdul Kadir, berkata berlaku pertelingkahan antara lelaki berstatus penduduk tetap berusia 64 tahun terbabit dengan isterinya, warga tempatan berusia 39 tahun dalam kejadian kira-kira 10 malam itu.

“Berlaku pertelingkahan antara mereka dan mangsa ketika itu dikatakan ada meminta cerai daripada suspek.

“Berang dengan permintaan isterinya, suspek mengambil objek panjang dipercayai sebilah parang dan menetak bahagian kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan.

Menurutnya mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di kantin sebuah sekolah mengalami luka sepanjang sembilan sentimeter di bahagian dahi dan menerima 10 jahitan.

Maizura berkata polis kini giat mengesan lelaki terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.