Ahli politik Bangladesh kemuka keterangan saksi pakar sokong permohonan tahanan salah

Ahli politik Bangladesh kemuka keterangan saksi pakar sokong permohonan tahanan salah

M A Quayum, 61, sebelum ini dakwa keselamatannya terancam untuk dibawa pulang ke negara asal susulan ditahan pada 12 Jan lalu.

Ahli politik pembangkang, M A Quayum kini bebas melalui pas khas dikeluar imigresen, namun pas itu perlu diperbaharui secara bulanan.
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli politik pembangkang Bangladesh akan mengemukakan keterangan seorang saksi pakar dari negara itu bagi menyokong permohonan habeas corpus atau penahanan salah difailkannya.

Peguam Kee Shu Min yang mewakili M A Quayum, 61, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa keterangan saksi berkenaan yang merupakan seorang peguam akan diikrarkan melalui afidavit kepada mahkamah dalam tempoh tiga minggu.

“Setakat ini hanya seorang saksi pakar dan pemohon sendiri (Quayum) mengikrarkan afidavit dan jika perlu kami akan memasukkan afidavit pihak-pihak lain yang berkaitan,” kata peguam itu.

Beliau berkata, anak guamnya kini dibebaskan melalui pas khas dikeluarkan imigresen selepas mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan Quayum menangguhkan penghantarannya ke negara itu, sementara menunggu permohonan habeas corpus selesai.

“Pas itu diperbaharui setiap bulan dan akan tamat tempoh esok. Sehubungan itu pihak kami mohon mahkamah mengeluarkan notis perbicaraan bagi memudahkan urusan pembaharuan pas khas di imigresen,” katanya.

Hakim K Muniandy kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan 3 Julai untuk pendengaran permohonan habeas corpus.

Ahli politik dari Bangladesh Nasionalist Party (BNP) itu yang memfailkan permohonan habeas corpus pada 15 Jan lalu sedang memohon perintah mahkamah supaya dia dibebaskan.

Menerusi afidavit sokongan, anak perempuan kepada Quayum berkata bapanya selaku pemohon yang menetap di Malaysia sejak 2015 dan mempunyai pasport serta merupakan seorang pemegang visa Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ditahan di IPD Ampang Jaya, pada 12 Jan lalu.

Beliau mendakwa tangkapan itu bertujuan menghantar bapanya pulang secara paksa ke Bangladesh dengan segera dan operasi penahanan secara rahsia itu tidak mengikuti undang-undang seperti Akta Ekstradisi.

Anak pemohon mendakwa keselamatan bapanya akan terancam dan bakal menghadapi penganiayaan politik sekiranya dihantar pulang ke Bangladesh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.