Jabatan Perikanan Melaka arah henti sementara jual kupang

Jabatan Perikanan Melaka arah henti sementara jual kupang

Arahan itu susulan dakwaan berlaku beberapa kes keracunan makanan akibat makanan laut itu oleh Hospital Port Dickson.

Pengarah Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon berkata arahan pengeluaran serta penjualan kupang dari perairan Melaka bersifat sementara sehingga siasatan selesai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Perikanan Melaka mengarahkan semua pengusaha dan penternak menghentikan pengeluaran serta penjualan kupang dari perairan di negeri itu.

Pengarah Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon mengeluarkan arahan tersebut susulan berlaku kes keracunan makanan akibat makanan laut itu oleh Hospital Port Dickson di Negeri Sembilan.

“Merujuk kepada maklumat diterima daripada Hospital Port Dickson, berlaku kes keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada pengambilan sumber kupang dari perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Sehubungan dengan itu, pengusaha dan penternak kupang melalui sistem pancang, rak dan p-line dari perairan Melaka adalah diminta untuk menghentikan sementara pengeluaran, penjualan dan pengambilan sumber kupang ini dari perairan Melaka,” katanya dalam kenyataan.

Fauzi berkata, larangan itu bersifat sementara sehingga siasatan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Perikanan negeri selesai.

Terdahulu Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memaklumkan terdapat kejadian keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang yang membabitkan lapan kes di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Harlina Abdul Rashid berkata, kejadian ini mula dikesan apabila Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, lapan individu dilaporkan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital dengan dua daripadanya dirawat di unit rawatan rapi selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang yang dibeli dari dua pasar di Port Dickson.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.