
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan berkata, keracunan dialami para pelajar SMJK San Min itu berpunca daripada makanan yang disediakan kantin sekolah pada 21 April lepas.
Katanya, kes keracunan mula dikesan apabila dua pelajar menunjukkan gejala pada 22 April disusuli notifikasi rasmi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak dua hari kemudian.
“Kesemua pelajar berusia 13 hingga 18 tahun itu mengalami gejala seperti sakit perut, cirit birit, muntah serta demam. Mereka diberikan rawatan pesakit luar dan berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media selepas melawat sekolah itu, lapor Bernama.
Tambahnya, dua sampel klinikal mendapati positif jangkitan norovirus dan sapovirus.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan oleh PKD Hilir Perak bagi mengenal pasti punca sebenar jangkitan dan faktor penyumbang kejadian.
Katanya, pemeriksaan PKD Hilir Perak mendapati tahap kebersihan kantin itu tidak memuaskan dan ia telah diarah ditutup empat hari.
“Pihak kantin telah mengambil tindakan penambahbaikan seperti yang diarahkan, dan setelah penilaian semula dijalankan, premis dibenarkan beroperasi semula selepas diarahkan tutup,” kata Sivanesan.
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan terus memantau situasi itu dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan tahap kesihatan pelajar dan keselamatan makanan di sekolah sentiasa terpelihara.