Dakwa ditahan polis secara salah, mahkamah benar cabaran undang-undang peguam

Dakwa ditahan polis secara salah, mahkamah benar cabaran undang-undang peguam

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Shahid berkata terdapat isu yang boleh dibicarakan berhubung reman dan larangan perjalanan Rosli Dahlan.

Peguam Rosli Dahlan sebelum ini memfailkan semakan kehakiman terhadap tindakan polis dan kerajaan berhubung dakwaan menangkap dan menahannya secara salah ketika siasatan terhadap i-Serve Online Mall Sdn Bhd. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi akan meneruskan untuk mendengar permohonan dikemukakan peguam Rosli Dahlan bagi mencabar tindakan polis dan kerajaan kerana menangkap dan menahannya secara salah ketika menjalankan siasatan ke atas sebuah syarikat teknologi kewangan.

Hakim Ahmad Kamal Shahid yang membenarkan permohonan Rosli untuk meneruskan cabaran undang-undangnya, berkata terdapat isu yang boleh dibicarakan berhubung reman dan larangan perjalanan, serta pembekuan akaun banknya.

“Perkara ini tidak boleh dihapuskan oleh mahkamah.

“Mahkamah juga mendapati polis hanya memulakan siasatan selepas akaunnya dibekukan yang menunjukkan “salah laku prosedur.

“Mahkamah akan membuat penilaian (sama ada terdapat niat jahat) pada pendengaran,” katanya.

Mahkamah menetapkan 8 Mei untuk pengurusan kes.

Rosli diwakili peguam Harvinder Singh Sidhu manakala Peguam Kanan Persekutuan Rahazlan Affandi Abdul Rahim mewakili polis dan kerajaan.

Awal tahun ini, Rosli memfailkan semakan kehakiman terhadap tindakan polis dan kerajaan berhubung dakwaan menangkap dan menahannya secara salah ketika siasatan terhadap i-Serve Online Mall Sdn Bhd.

Dia mendakwa, polis menyalahgunakan kuasa mereka di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram, secara salah mengaitkannya dengan laporan polis 2018 dibuat oleh syarikat penerbangan tambang murah AirAsia yang mendakwa ia telah ditipu oleh i-Serve.

Rosli juga mendakwa polis tidak merekodkan keterangannya selepas Mahkamah Majistret membenarkan permohonannya untuk direman sehari pada 27 Okt 2023. Sebaliknya, katanya, dia dibebaskan daripada tahanan lewat hari itu.

Katanya, beliau menerima lapan perintah untuk membekukan akaun banknya apabila dia kembali ke Bukit Aman pada 3 Nov untuk direkodkan keterangan.

Rosli berkata, dia juga mengetahui bahawa dirinya dilarang meninggalkan negara pada 18 Nov 2023, apabila ingin ke Singapura untuk menghadiri majlis perkahwinan.

Larangan perjalanan telah luput dan polis juga membekukan beberapa akaunnya.

Rosli meminta mahkamah mengeluarkan perintah certiorari membatalkan penahanan dan reman atas alasan mereka melanggar undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.