
Amalina Che Din, 29, yang telah berkhidmat sebagai pelatih doktor bedah selama lima tahun di United Kingdom berkata, beliau memilih untuk bekerja di luar negara disebabkan latihan khusus yang ditawarkan bagi mereka yang ingin menjadi perunding.
“Berbanding Malaysia, UK menyediakan laluan latihan yang jelas dan tersusun, bersama pelbagai peluang latihan yang lebih luas.
“Penggunaan teknologi canggih juga meningkatkan kualiti latihan di UK,” katanya kepada FMT.
Amalina berkata, budaya kerja dan persekitaran di UK “sangat menyokong” dan penuh dengan sikap saling menghormati.
Beliau juga berkata, gaji lebih baik yang diperoleh di UK memberikan kuasa beli yang lebih tinggi, meningkatkan daya tarikan keseluruhan untuk menyambung kerjaya di sana.
Pada 28 Feb, FMT melaporkan bahawa lebih 54% daripada 1,696 pegawai perubatan yang meninggalkan sektor awam pada 2022 memasuki sektor swasta.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, tinjauan kementerian juga mendapati, 4.5% daripada jumlah doktor yang meninggalkan sektor awam kini bekerja di luar negara.
Vidhya GR, 36, yang telah bekerja di sebuah jabatan kecemasan di Australia selama hampir setahun berkata, beliau berasa dihargai oleh rakan sekerja dan pesakitnya, walaupun dalam persekitaran yang sibuk.
“(Doktor) perunding tegaskan agar saya berehat dan bertanya sama ada saya sudah makan,” katanya.
Apabila ditanya apa yang mendorongnya meninggalkan sektor kesihatan awam di Malaysia, Vidhya berkata, beliau dibuli di tempat kerja, dan ini sering menjurus kepada penghinaan secara terbuka.
Sebagai contoh, katanya, pada hari pertama beliau bekerja di sebuah hospital awam di Lembah Klang, beliau diminta membentangkan maklumat mengenai seorang pesakit yang telah lama berada di hospital tersebut.
“Saya masih belum faham sepenuhnya keadaan pesakit itu. Ketika saya cuba membaca sejarah perubatan (pesakit) dalam fail, pegawai perubatan yang menyelia saya menutup fail itu secara tiba-tiba.
“Dia kemudian mengarahkan saya untuk menjelaskan kes pesakit tanpa melihat nota. Saya terkejut dan tidak dapat berkata banyak. Pegawai perubatan itu kemudian menyuruh saya keluar dari bilik.
“Pengalaman ini, pada hari pertama saya (bertugas), agak mengejutkan dan membuat saya rasa kecewa,” katanya.
Beliau juga mendakwa, “orang malas” di hospital tidak berdepan akibat apabila mengabaikan tugas, sebaliknya mereka yang bekerja dengan tekun akan terperangkap dalam “kitaran kerja yang tidak pernah habis”.