Tumpuan pelaburan positif namun penganalisis gesa swasta terajui pertumbuhan

Tumpuan pelaburan positif namun penganalisis gesa swasta terajui pertumbuhan

Swasta sebagai peneraju pertumbuhan berasaskan pelaburan dalam Belanjawan 2026 dapat memastikan inovasi, peluang pekerjaan dan manfaat ekonomi jangka panjang terus berkembang.

Belanjawan 2026 peruntuk RM50.8 bilion untuk merangsang pelaburan dalam negara melalui GLIC, kerjasama awam-swasta, badan berkanun dan inisiatif GEAR-Up. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi menyambut baik langkah kerajaan menumpukan pertumbuhan berasaskan pelaburan dalam Belanjawan 2026, namun menegaskan sektor swasta perlu memainkan peranan utama supaya momentum ekonomi dapat dikekalkan.

Belanjawan berjumlah RM470 bilion dibentang 6 Okt lalu memperuntukkan RM50.8 bilion untuk pelaburan melalui syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kerjasama awam-swasta, badan berkanun dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Selain itu, sebanyak RM30 bilion lagi disalurkan kepada inisiatif GEAR-Up yang bertujuan menggalakkan pelaburan dalam negara melalui GLIC.

Ahli ekonomi Geoffrey Williams menyifatkan pendekatan ini sebagai satu ‘evolusi pragmatik’ dalam pengurusan ekonomi negara.

“Terdapat perubahan daripada usaha meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui perbelanjaan kepada pertumbuhan berasaskan pelaburan. Ini satu perkembangan positif kerana pertumbuhan sebenar datang daripada peningkatan keupayaan penawaran ekonomi,” katanya kepada FMT.

Menurut beliau, menyalurkan sebahagian perbelanjaan pembangunan melalui GLIC dapat mengimbangi langkah berjimat dengan kecekapan pasaran, sekali gus membantu mengurangkan defisit sambil memberi pulangan kepada pencarum dalam bentuk dividen tahunan.

“Inisiatif GEAR-Up boleh memberi manfaat nyata kepada rakyat sekiranya ia berjaya memberikan dividen yang baik setiap tahun, sebagai sebahagian strategi pelaburan jangka panjang tanpa menjejaskan aktiviti sedia ada,” tambahnya.

Namun ada ahli ekonomi memberi amaran penglibatan kerajaan yang terlalu besar boleh mengehadkan daya saing sektor swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata Malaysia kini perlu memberi tumpuan kepada usaha ‘menarik masuk’ pelaburan swasta, bukan menggantikannya dengan pelaburan kerajaan.

“Jika kita bercakap tentang pelaburan strategik dan mampan jangka panjang, inisiatif itu seharusnya dipacu oleh pasaran, bukan kerajaan,” katanya.

“Untuk meningkatkan keyakinan pelabur, kerajaan perlu mengurangkan penglibatan langsung dalam aktiviti ekonomi dan menumpukan usaha mewujudkan ruang lebih luas serta selamat bagi pelaburan swasta.”

Williams turut menekankan program dipacu GLIC seperti GEAR-Up hanya akan berjaya jika dapat menggalakkan penyertaan sektor swasta.

“Jika inisiatif itu boleh menarik penyertaan pemain swasta melalui kerjasama, pembekal, dan pulangan pelaburan termasuk skim seperti MyCIF, ia akan lebih memberi kesan positif,” katanya.

Bagi mencapai ekonomi kurang bergantung kepada GLIC, Ferlito mencadangkan usaha seperti rangkaian perusahaan, di mana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bekerjasama untuk berkongsi sumber, melaksanakan projek bersama dan mengukuhkan kedudukan pasaran.

Katanya, langkah sebegitu, jika disokong dengan insentif cukai, akan membantu syarikat tempatan berkembang dengan lebih kompetitif “tanpa menjejaskan kebebasan keusahawanan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.