22 syarikat tawar kerja untuk pekerja kilang Goodyear

22 syarikat tawar kerja untuk pekerja kilang Goodyear

Exco Selangor, V Papparaidu berkata syarikat terbabit akan membuka kaunter di kilang Goodyear Shah Alam pada 22 hingga 26 April ini.

V Papparaidu mengadakan perbincangan dengan wakil Goodyear ketika melawat kilangnya di Shah Alam hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua puluh dua syarikat tempatan akan membuka kaunter tawaran kerja di kilang Goodyear Malaysia Berhad (Goodyear), Shah Alam untuk memilih pekerja baharu, kata Exco Selangor V Papparaidu.

Beliau berkata, pekerja Goodyear yang bakal hilang pekerjaan akibat penutupan kilang itu akan ditawarkan kerja baharu berdasarkan pengalaman mereka.

“Dalam usaha mengatasi isu ini, 22 syarikat tempatan yang memerlukan pekerja ini akan membuka kaunter mencari pekerja baharu di kilang Goodyear pada 22 hingga 26 April depan,” katanya menurut Sinar Harian susulan lawatan dan perbincangannya bersama wakil Goodyear di Shah Alam hari ini.

Wakil Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor, Ismail Abi Hashim turut menyertai perbincangan itu.

Pada 7 Mac lalu, pengeluar tayar global itu mengumumkan kilangnya di Shah Alam akan ditutup pada 30 Jun ini, yang bakal menjejaskan 550 kakitangannya. Kilang itu mula beroperasi pada 1972.

Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang dilaporkan berkata, langkah itu sebahagian inisiatif transformasi “Goodyear Forward” untuk memperkemaskan operasi syarikat.

Beliau berkata, ia juga membantu memberi pertambahan keuntungan dan meningkatkan nilai untuk pemegang saham.

Papparaidu berkata, Perkeso Selangor sudah memberi bantuan kepada 550 pekerja Goodyear dengan MyFutureJobs dan Orang Berinsurans (OB), di mana mereka akan dipadankan dengan kekosongan jawatan bersesuaian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.