
Menterinya, Rafizi Ramli, berkata beberapa langkah akan diambil termasuk pengukuhan rantaian bekalan tempatan bagi memastikan syarikat tempatan mendapat manfaat daripada kemasukan pelaburan asing.
Katanya, langkah seterusnya ialah pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti melalui syarikat pelabur asing yang melabur dalam zon ekonomi khas.
“Syarikat tempatan akan mendapat akses kepada program pembangunan kapasiti dan pemindahan teknologi yang dibawa oleh syarikat pelabur asing.
“Ini akan akan memberi manfaat kepada pembangunan industri sokongan termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS),” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Rafizi juga berkata Johor Talent Development Council (JTDC) ditubuhkan sebagai platform penyelarasan dalam merangka program latihan serta peningkatan kemahiran bagi memenuhi keperluan tenaga kerja tempatan berkualiti di kawasan JS-SEZ.
“Inisiatif ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing di mana syarikat pelabur asing akan mendapat pekerja tempatan berkemahiran tinggi untuk bekerja di syarikat tersebut dengan gaji yang berpatutan,” katanya.
Beliau berkata syarikattempatan juga mempunyai kelebihan untuk merebut peluang geran sokongan, geran padanan dan dana yang disediakan oleh pelbagai kementerian dan agensi sedia ada untuk perluasan aktiviti syarikat termasuk di JS-SEZ.
Antaranya ialah geran di bawah Program Syarikat Mid-Tier yang diuruskan oleh Khazanah Nasional dengan peruntukan RM1 bilion serta Geran Padanan Digital,
Dana Pinjaman PKS oleh Bank Negara Malaysia sebanyak RM3.8 bilion.
“Semua geran ini hanya boleh dimohon oleh syarikat tempatan sahaja. Ia tidak ditawarkan kepada pelabur antarabangsa dan syarikat multinasional,” katanya.
Rafizi menjawab soalan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), yang meminta menteri memberi jaminan bahawa pelabur dan syarikat tempatan tidak akan diketepikan atau diabaikan di tengah-tengah kemasukan ‘pelabur asing mega’ di JS-SEZ.