
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pegawai terbabit dipercayai melarikan diri sebaik siasatan bermula, namun dikatakan masih berada di dalam negara.
“Biarpun tidak berjawatan tinggi, (pegawai Imigresen itu) dipercayai berpengaruh dalam kalangan anggota di sana (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” katanya, lapor Berita Harian.
Terdahulu, SPRM membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, melalui pintu masuk negara menggunakan operasi ‘buka kaunter’ (counter setting).
Sindiket itu dipercayai didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, yang dipercayai melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan.
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas SPRM menahan 12 individu, terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20-an hingga 50-an, di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya menyita beberapa kenderaan mewah dipercayai milik kakitangan penguat kuasa yang disiasat.
Selain itu, katanya, SPRM akan memanggil 46 anggota dan pegawai penguat kuasa agensi berkenaan untuk disoal siasat dalam tempoh terdekat.