Jabatan Imigresen laksana pusingan tugas tangani ‘counter setting’

Jabatan Imigresen laksana pusingan tugas tangani ‘counter setting’

Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Zakaria Shaaban berkata, kes 'counter setting' yang dibongkar baru-baru ini menjejaskan imej jabatan tersebut.

Immigration
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban meminta agar semua kakitangan dan pegawai Jabatan Imigresen memberikan komitmen untuk melaksanakan pembaharuan bersama-sama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen Malaysia akan melaksanakan pusingan tugas bagi pegawai yang telah lama berkhidmat di sesuatu tempat susulan pembongkaran kegiatan sindiket membawa masuk warga asing melalui ‘buka kaunter’ (counter setting).

Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Zakaria Shaaban berkata, langkah ini antara usaha pihaknya menangani kejadian sedemikian.

“Kita akan teruskan dengan pusingan kerja … saya dapat maklum balas (daripada) pegawai (yang) mengadu dah 10 tahun tunggu pertukaran.

“Kita kena cari jalan bagaimana pegawai yang dah bertahun duduk di sesuatu tempat supaya bertugas di tempat lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Pengarah Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, kes ‘buka kaunter’ yang dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menjejaskan imej Jabatan Imigresen dan pihaknya akan menyemak semula dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) jabatan itu.

Menurutnya, semua peringkat harus lebih bertanggungjawab memantau pematuhan SOP sedia ada serta yang akan diperkenalkan.

Awal bulan lepas, SPRM membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing, termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal, melalui pintu masuk negara menggunakan modus operandi ‘buka kaunter’.

Sebanyak RM1 juta disita dalam ketiga-tiga operasi khas dijalankan SPRM sejak Ogos, termasuk 22 kenderaan dan 27 keping dinar emas dianggarkan bernilai lebih RM200,000.

Selain itu, lebih 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket, subang, serta lebih 12 jam tangan, lebih 30 telefon pintar pelbagai jenama dan komputer riba turut disita.

Dalam pada itu, Zakaria yang baharu sembilan hari menyandang jawatan itu mengakui diberi masa tiga bulan untuk melaksanakan pembaharuan dalam Jabatan Imigresen.

Justeru, beliau meminta agar semua kakitangan dan pegawai memberikan komitmen untuk melaksanakan pembaharuan bersama-sama.

“Saya tak boleh bergerak berseorangan, tak mampu buat dan laksanakan bermacam-macam agenda … Saya perlu komitmen dari pegawai yang paling bawah hingga pengurusan atasan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.