
Exco Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han berkata, 19 syarikat dari negara-negara itu menyatakan minat menubuhkan pejabat keluarga dengan dua daripadanya telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Syarikat pelaburan terkenal Malaysia, CMY Capital dan Yow Kee Family Office, telah memperoleh kelulusan SC, sekali gus menjadikan mereka kumpulan pertama yang membuka pejabat keluarga di SFZ Forest City,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pembukaan dua syarikat itu akan mewujudkan kesan secara langsung dengan lebih banyak pejabat keluarga dan institusi kewangan dijangka turut memulakan operasi di Forest City tahun ini.
Pencapaian tersebut sekali gus menunjukkan perancangan kerajaan negeri dan persekutuan bagi memastikan kejayaan Forest City sebagai SFZ serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Johor secara amnya, berada di landasan yang tepat.
Lee berkata, Kementerian Kewangan juga sedang memuktamadkan pakej insentif yang diumumkan sebelum ini.
“Ini termasuk kadar cukai korporat sifar untuk pejabat keluarga, kadar cukai korporat sifar hingga 5% dan kadar cukai pendapatan purata 15% untuk pekerja berkemahiran tinggi, dijangka akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.
“Dalam tempoh itu, permohonan diterima akan diproses satu per satu bagi mempercepatkan kelulusan sekali gus menarik lebih banyak pelaburan ke SFZ,” katanya.
Dalam pada itu, Lee berkata, lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini membawa peluang pembangunan besar, khususnya melibatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara dua negara, sekali gus memberi peluang pelaburan kepada Johor termasuk SFZ Forest City.
“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur dari China untuk meneroka peluang di negara ini kerana ia selari dengan kepentingan ketersambungan serantau dan pembangunan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China,” katanya.
Justeru itu, katanya, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) ditubuhkan sebagai pusat sehenti untuk para pelabur dan mereka boleh membuka profil pelaburan dengan bantuan seorang pengurus akaun.
“Bidang tugas pengurus akaun ini adalah untuk membantu memudahkan urusan antara pelabur dan pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan Persekutuan serta syarikat utiliti,” kata Lee.
Beliau berkata, sejak Januari 2025 hingga kini, pejabat IMFC-J telah menerima lebih 250 pertanyaan daripada pelabur yang berminat.