‘Adakah polis kebal kritikan’, Kok persoal siasatan terhadap penyampai berita

‘Adakah polis kebal kritikan’, Kok persoal siasatan terhadap penyampai berita

Ahli Parlimen Seputeh menyifatkan tindakan menyiasat penyampai berita yang mendakwa polis sombong dan kasar sebagai memeranjatkan.

Teresa Kok mempersoalkan sama ada polis mempunyai keistimewaan sehingga tidak boleh dikritik oleh orang awam.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan menegur tindakan polis menyiasat seorang penyampai berita yang sebelum ini mendakwa anggota polis kasar, sombong dan tidak profesional semasa menjalankan tugas.

Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata, langkah memulakan siasatan itu amat memeranjatkan, memandangkan wakil rakyat juga selalu berdepan dengan kritikan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan sama ada polis mempunyai keistimewaan dan kekebalan sehingga tidak boleh dikritik.

“(Penyampai berita itu) diambil tindakan polis pada lewat malam. Dalam kes ini, bukankah patut polis menyiasat pegawai yang diadu itu, bukan sebaliknya (siasat pengadu)?” soalnya ketika membahaskan Pindaan Akta Polis 1967 (Akta 344) di Dewan Rakyat.

Semalam dilaporkan polis selesai merakam keterangan daripada seorang penyampai berita sebuah stesen televisyen yang mendakwa anggota polis bersikap sombong dan kasar ketika melakukan pemeriksaan terhadapnya.

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata, percakapan individu itu selesai dirakam pada Selasa di IPD Subang Jaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.