
Fasal itu yang menjadikan penyalahgunaan dalam talian satu kesalahan jenayah, dinamakan sempena A Rajeswary — seorang pempengaruh TikTok yang mengambil nyawanya sendiri pada Julai tahun lalu selepas menjadi mangsa buli siber.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, berkata buli siber terhadap wanita dan golongan minoriti bukan sekadar isu peribadi, tetapi masalah masyarakat yang memerlukan tindakan bersama.
“‘Fasal Esha’ dan undang-undang sedia ada mesti dikuatkuasakan dengan betul,” katanya kepada FMT.
“Tetapi platform teknologi dan penyedia perkhidmatan juga mesti memainkan peranan mereka dengan bertindak segera terhadap kandungan yang bersifat menghina.”
Beliau mengulas pendedahan Global Human Rights Foundation bahawa beberapa pempengaruh dan wartawan wanita India telah diganggu dalam talian — termasuk diugut bunuh dan dicederakan, serta keluarga mereka menjadi mangsa doxxing (pendedahan maklumat peribadi secara terbuka).
Presidennya, S Shasi Kumar, berkata walaupun beberapa laporan polis telah dibuat terhadap individu yang disyaki melakukan gangguan itu, tiada tindakan diambil setakat ini.
Syerleena berkata amat mengecewakan apabila masih ada mangsa buli siber yang merasakan suara mereka tidak didengari, walaupun mereka mengalami trauma emosi akibat gangguan tersebut.
Beliau mengakui polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berusaha sebaik mungkin, namun menegaskan perlunya penyelarasan yang lebih baik dan rangka kerja yang lebih jelas untuk menangani kes buli siber dengan berkesan.
Menurutnya, platform media sosial sendiri perlu bertanggungjawab terhadap kejadian buli siber yang berlaku di platform mereka.
“Keadaan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk penyelarasan yang lebih kukuh dan akauntabiliti yang lebih jelas daripada pihak platform media sosial itu sendiri,” katanya.
“Syarikat-syarikat ini mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk memastikan platform mereka menjadi ruang yang selamat, bukannya tempat subur bagi gangguan dan kebencian.”
Dalam pada itu, Shasi berkata ‘Fasal Esha’ sepatutnya telah digunakan oleh pihak polis ketika menyiasat kes-kes sebegini.
“Saya tidak tahu mengapa polis tidak menggunakannya. Sebaliknya, mereka menasihati mangsa supaya tidak menggunakan TikTok dan tidak mengikuti akaun troll tersebut,” katanya sambil menambah bahawa walaupun akaun palsu telah dipadam, akaun baharu sering muncul semula dan meneruskan gangguan dalam talian.
Beliau berkata ketika Esha meninggal dunia, pihak berkuasa menunjukkan minat yang tinggi, namun kini ‘semua orang berdiam diri’ walaupun kes serupa terus berulang.