Pembinaan 18 pesawat pejuang FA-50M capai 26.7%

Pembinaan 18 pesawat pejuang FA-50M capai 26.7%

Berdasarkan jadual perolehan, dua pesawat FA-50M dijangka diterima pada suku ketiga 2026 dan baki diterima secara berperingkat hingga akhir 2027.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM ialah varian FA-50 Block 20 yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding varian diperoleh negara lain. (Gambar Wikipedia)
KUALA LUMPUR:
Status kemajuan terkini pembinaan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencapai 26.7%, Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata berdasarkan jadual perolehan, dua pesawat pejuang ringan itu dijangka diterima pada suku ketiga 2026 dan selebihnya diterima secara berperingkat hingga penghujung 2027.

“Nilai perolehan (pesawat) ialah RM3.8 bilion. Perolehan pesawat ini berdasarkan perancangan TUDM, iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) yang menyasarkan perolehan pesawat platform tunggal dua tempat duduk yang mampu melaksanakan tugas dwifungsi, iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan untuk tujuan latihan bakal juruterbang pejuang dan pesawat tempur ringan (LCA) bagi keperluan operasi.

“Berdasarkan perancangan pesawat, LCA ini akan dipakai hingga 2045 berdasarkan polisi ‘casting’, pesawat pejuang serta akan melalui program ‘mid-life upgrade’, iaitu bagi memastikan ia kekal beroperasi hingga 2055,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berhubung jangkaan perolehan status terkini pembelian 18 pesawat FA-50M bagi kegunaan TUDM.

Semasa pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa utama Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak untuk memperoleh 18 pesawat pejuang ringan FA-50M.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM ialah varian FA-50 Block 20 yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding varian diperoleh negara lain, termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu turut digunakan tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.