PM gembira kartel beban rakyat didedahkan

PM gembira kartel beban rakyat didedahkan

Perdana menteri berkata kerakusan kartel mengenakan harga lampau sehingga jejaskan rakyat.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran bangunan baharu Hospital Seberang Jaya. (Gambar JohnShen Lee)
BUTTERWORTH:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau berasa lega kerana kegiatan kartel akhirnya didedahkan, sambil menegaskan kerakusan mereka telah meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Anwar menegaskan negara tidak sepatutnya bergantung kepada kartel dalam perolehan pertahanan, kesihatan dan kerja awam.

“Pada akhirnya, kehidupan kita akan terbeban oleh kartel ini, yang mengenakan harga melampau bagi barangan mereka.

“Saya gembira isu besar ini kini didedahkan supaya orang ramai faham betapa sukarnya untuk menyelesaikan masalah sebegini,” katanya berucap merasmikan blok baharu di Hospital Seberang Jaya.

Kenyataan Anwar itu ketika pihak berkuasa giat menyiasat dakwaan kartel tender perolehan tentera, yang membawa beberapa pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan dan beberapa lagi dihadapkan ke mahkamah.

Antara yang ditahan dan didakwa ialah bekas panglima angkatan tentera Nizam Jaffar, bekas ketua tentera darat Hafizuddeain Jantan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga menahan reman 17 pengarah syarikat yang terlibat dalam kartel yang sama.

Anwar berkata kes-kes terkini tidak sepatutnya digunakan untuk mencemarkan reputasi keseluruhan ATM.

“Saya tidak mahu satu atau dua kes tertentu mewakili keseluruhan angkatan tentera. Negara ini aman kerana pengorbanan mereka (dalam memastikan keselamatan negara),” katanya.

Berhubung produk makanan, Anwar berkata kerajaan sebelum ini membelanjakan sehingga RM1.2 bilion untuk menstabilkan harga ayam.

“Pada akhirnya, kami berjaya menumpaskan kartel ayam dan syarikat penternakan kini boleh menjual pada harga yang munasabah.

“Kami mengambil beberapa langkah yang tidak popular dengan sesetengah pihak, tetapi berjaya menjimatkan RM1.2 bilion,” katanya.

Beliau yang jua menteri kewangan merujuk kepada kos subsidi ditanggung kerajaan sebelum harga ayam dibenarkan ditentukan oleh penawaran dan permintaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.