
Khaled berkata perkara itu antara dipersetujui dalam rundingan Kementerian Pertahanan bersama Kementerian Kewangan berhubung pelepasan dana susulan pembekuan perolehan ketenteraan, lapor Berita Harian.
Katanya, antara penambah baikan yang bakal dilaksanakan termasuklah pelantikan anggota atau ahli rentas perkhidmatan untuk setiap jawatan kuasa sebut harga dan kaedah tender terbuka antarabangsa untuk pembekal peralatan dari luar negara.
“Jika sebut harga perolehan itu dibuat Tentera Laut, mesti ada ahli dari perkhidmatan lain seperti Tentera Udara atau Tentera Darat dalam jawatan kuasa itu, begitu juga yang lain.
“Selain itu, kerajaan juga mahu supaya perolehan daripada pembekal, jika ia libatkan peralatan luar negara, mesti dilakukan secara tender terbuka antarabangsa,” katanya yang dipetik sebagai berkata dalam satu program di Johor Bahru.
Katanya, sistem perolehan dan tender sebelum ini terdedah dengan manipulasi ejen yang menyebabkan harga sesuatu perolehan melonjak naik berbanding harga sebenar.
Pada 16 Jan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa semua kelulusan kontrak perolehan ketenteraan dibekukan sehingga proses itu disemak bagi memastikan peraturan dipatuhi sepenuhnya.
Pembekuan sementara itu dibuat susulan isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan beberapa pegawai tinggi ATM.
Sebelum ini, Khaled berkata Kementerian Pertahanan sedang berunding dengan Kementerian Kewangan mengenai keputusan kerajaan membekukan sebahagian dana bagi perbelanjaan pengoperasian ATM.