Kerajaan jimat RM1 bilion beli ubat generik, kata Anwar

Kerajaan jimat RM1 bilion beli ubat generik, kata Anwar

Perdana menteri berkata, Malaysia tidak patut kagum membeli ubat jenama mahal dari AS dan Eropah menelan belanja puluhan ribu ringgit.

MEDICINE-CAPSULE-TABLET-UBAT-KKM
Pembelian ubat generik oleh hospital kerajaan bermula dua tahun lalu menggantikan ubat asal yang jauh lebih mahal.
BUTTERWORTH:
Kerajaan jimat hampir RM1 bilion selepas beralih daripada ubat asal jenama mahal kepada ubat generik, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Tegasnya, Malaysia sepatutnya membeli ubat generik sejak dulu lagi, bukannya bergantung kepada ubat asal dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Pembelian ubat generik oleh hospital kerajaan bermula dua tahun lalu menggantikan ubat asal atau inovator yang jauh lebih mahal.

“Kita telah rugi berpuluh bilion ringgit untuk mendapatkan ubat terbaik dari AS, di mana sebiji pil berharga RM100, sedangkan kita boleh mendapatkan ubat sama pada harga RM10 dari India, Turki, Brazil atau China, asalkan ia memenuhi keperluan perubatan kita.

“Kita tidak lagi terikat dengan mentaliti lapuk yang kagum dengan ubat mahal dari AS dan Eropah,” katanya ketika melancarkan blok baharu Hospital Seberang Jaya.

Sementara itu, Anwar menggesa tempoh menyiapkan projek infrastruktur kesihatan awam dipendekkan kerana pembinaan hospital tidak patut mengambil masa hampir sedekad.

Pembinaan bangunan baharu Hospital Seberang Jaya yang bermula 2016 hanya siap tahun lalu.

“Kita perlu belajar daripada pengalaman ini. Kita perlu belajar daripada prestasi kontraktor dan proses kelulusan di setiap jabatan,” kata menteri kewangan itu sambil menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mempercepatkan kelulusan tanah bagi projek kesihatan awam.

Ubat generik selamat

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, menegaskan ubat generik selamat dan berkesan seperti ubat asal.

Beliau berkata, dasar “generic drug first policy” menyaksikan doktor di kemudahan kesihatan awam lebih mengutamakan ubat generik.

“Dalam tempoh dua tahun ini, tidak kurang RM900 juta dijimatkan (melalui pendekatan ini) dan jumlah itu akan terus meningkat,” katanya dalam sidang media.

Mengulas kenyataan Anwar berhubung kelewatan projek kesihatan, jelasnya, beliau bersama Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi sedang meneliti projek “sakit” di seluruh negara melalui jawatankuasa pembangunan dipengerusinya.

Menurutnya, beberapa projek hospital di Sabah dan Sarawak tertangguh sehingga sedekad dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada perdana menteri.

“Saya ingin tekankan kepada kontraktor yang menerima projek supaya menyiapkannya tepat pada masa.

“Saya sentiasa kata kita tidak boleh tunggu 5-10 tahun (untuk projek siap) kerana rakyat sedang menunggu dan kelewatan ini amat menyusahkan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.