
Sangkar berkata pergolakan dalaman kepimpinan PKR Sabah bukanlah kali pertama berlaku, dan ahli harus tidak membuang masa dengan perkara seperti itu sebaliknya terus berkhidmat untuk kemajuan dan kesejahteraan Sabah.
Beliau juga menafikan dakwaan Ketua PKR Kota Marudu Sazalye Donol bahawa beliau tidak melaksanakan tugasnya dengan efektif dan gagal menganjurkan program untuk memperkasakan PKR Sabah.
“Ini adalah satu fitnah yang tidak berasas dan tidak mencerminkan suara sebenar akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, tuduhan tersebut bukan sahaja memalukan PKR, tetapi juga akan membantutkan gerak kerja parti dalam melakukan persiapan menuju pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.
“Kita harus terus bersatu dalam memfokuskan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat Sabah, bukan terlibat dalam mencetuskan pergolakan dalaman yang hanya membuang masa ramai pihak yang tulus bekerja untuk parti,” katanya.
Ketua PKR Keningau itu berkata, banyak program parti dianjurkan malah turut dipenuhi ahli-ahli parti seluruh pelusuk Sabah serta seringkali dihadiri oleh wakil Pejabat Perdana Menteri sendiri sepanjang lebih setahun lalu.
“Saya akan terus menunaikan amanah yang diberi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan tidak akan berganjak dari tugas saya untuk memastikan PKR terus berkhidmat untuk kemajuan dan kesejahteraan Sabah,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan 15 cabang PKR diketuai Sazalye Donol dari Kota Marudu menggesa Sangkar meletak jawatan dan berundur secara terhormat dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata kesemuanya menyatakan pendirian menolak kepimpinan serta hilang kepercayaan terhadap Sangkar melalui Akuan Bersumpah (SD).
Penggal kerajaan Sabah akan tamat pada Oktober 2025, tetapi Ketua Menteri Hajiji Noor memberi bayangan PRN mungkin diadakan lebih awal.