Ketua Staf PM UK letak jawatan susulan isu kaitan duta ke AS dengan Epstein

Ketua Staf PM UK letak jawatan susulan isu kaitan duta ke AS dengan Epstein

Morgan McSweeney dipersalahkan banyak pihak kerana sokong Peter Mandelson jadi duta ke AS walaupun tahu hubungannya dengan Jeffrey Epstein.

Morgan McSweeney berkata beliau menasihatkan Perdana Menteri Keir Starmer untuk melantik Peter Mandelson sebagai duta ke AS. (Gambar EPA Images)
LONDON:
Morgan McSweeney meletak jawatan sebagai Ketua Staf kepada Perdana Menteri Britain Keir Starmer selepas menerima kritikan hebat berikutan skandal Peter Mandelson, lapor PA Media/dpa.

McSweeney, yang merupakan orang kanan Perdana Menteri, sebelum ini berdepan desakan yang semakin meningkat daripada dalam Parti Buruh untuk mengundurkan diri.

Beliau dipersalahkan oleh banyak pihak kerana menyokong pelantikan sekutunya, Mandelson, sebagai duta ke Amerika Syarikat (AS) meskipun mengetahui hubungan lelaki itu dengan Jeffrey Epstein berterusan selepas pembiaya kewangan terbabit disabitkan dengan kesalahan seks kanak-kanak.

Kehilangan penasihatnya itu dianggap sebagai tamparan hebat buat Starmer, memandangkan masa depan politik beliau kini dalam bahaya ekoran persoalan mengenai pertimbangannya dalam memilih Mandelson sebagai diplomat tertinggi di Washington.

Dalam satu kenyataan, Starmer memuji ‘dedikasi, kesetiaan, dan kepimpinan’ McSweeney yang membawa kepada kemenangan Parti Buruh dalam pilihan raya umum 2024, selain menyatakan ‘terhutang budi’ kepadanya. Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyentuh mengenai kemelut membabitkan Mandelson.

Sementara itu, McSweeney dalam kenyataan peletakan jawatannya mengakui keputusan melantik Mandelson adalah satu ‘kesilapan’ dan beliau mengambil ‘tanggungjawab sepenuhnya’ atas nasihat yang diberikan kepada Starmer untuk meneruskan pelantikan itu.

Beliau turut menggesa agar prosedur tapisan dibaik pulih memandangkan ia dilihat gagal menyangkal apa yang disifatkan oleh pejabat Starmer sebagai ‘pembohongan’ Mandelson kononnya beliau tidak begitu mengenali Epstein.

Tahun lepas, Mandelson telah dipecat berikutan hubungannya dengan pesalah pedofilia terkemuka itu. Kemarahan di Westminster semakin memuncak selepas pendedahan dokumen terbaharu menunjukkan beliau membocorkan maklumat kepada rakannya itu ketika masih memegang jawatan menteri kerajaan.

McSweeney berkata:”Selepas pertimbangan teliti, saya memutuskan untuk meletak jawatan daripada kerajaan. Keputusan melantik Peter Mandelson adalah salah. Beliau telah merosakkan parti, negara, dan kepercayaan terhadap politik itu sendiri.

“Apabila diminta, saya menasihati perdana menteri untuk membuat pelantikan itu dan saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas nasihat berkenaan. Dalam kehidupan awam, tanggungjawab mesti dipikul apabila ia amat penting, bukan hanya ketika ia mudah. Dalam keadaan ini, satu-satunya jalan terhormat adalah dengan mengundurkan diri,” kata McSweeney.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.