Warga Bangladesh lapor polis jadi mangsa penipuan kerja

Warga Bangladesh lapor polis jadi mangsa penipuan kerja

Empat lelaki itu berkata, mereka antara 161 warga Bangladesh tiada kerja selepas dibawa ke Malaysia oleh sebuah syarikat pembinaan Oktober lalu.

Empat lelaki Bangladesh dan penyelaras dari kumpulan hak asasi migran, Inisiatif Utara-Selatan serta Parti Sosialis Malaysia di IPD Sentul malam tadi.
PETALING JAYA:
Empat lelaki Bangladesh membuat laporan polis malam tadi mendakwa majikan mereka gagal memberikan pekerjaan sejak dibawa ke negara ini lebih tujuh bulan lalu.

Kumpulan lelaki itu berkata, mereka datang ke Malaysia Oktober lalu selepas dijanjikan gaji bulanan RM1,500 untuk bekerja di sebuah syarikat pembinaan dan kini ditempatkan di Chow Kit.

“Sejak hari pertama kami datang ke Malaysia hingga kini, kami tidak diberikan sebarang kerja atau gaji. Sejumlah 161 pekerja, termasuk kami, menderita.

“Sudah lebih tujuh bulan dan kami masih tiada kerja. Kami tiada wang untuk membeli makanan. Semua pasport kami ditahan majikan yang mahu kami membayar RM6,000 untuk mendapatkannya semula.”

Mereka dibawa ke IPD Sentul oleh wakil kumpulan Parti Sosialis Malaysia.

Kumpulan itu berkata, beberapa orang daripada kalangan mereka membangkitkan masalah mereka dengan Pejabat Buruh di Subang Jaya pada 4 Jan lalu, tetapi tiada maklum balas sehingga kini. Mereka kemudiannya diarahkan ke ibu pejabat Jabatan Buruh di Putrajaya.

Katanya, mereka dimaklumkan seorang pegawai di ibu pejabat bahawa majikan mereka telah diberitahu sama ada menghantar mereka pulang ke Bangladesh atau membantu mendapatkan majikan baharu.

Mereka berkata, majikan juga diminta membayar gaji yang sepatutnya kepada mereka sejak memasuki Malaysia pada Oktober dan pejabat itu masih menunggu maklum balas daripada majikan.

“Kami membuat laporan polis dengan harapan polis akan campur tangan untuk mendapatkan semula pasport kami daripada majikan.”

Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dilaporkan berkata, majikan yang menahan pasport pekerja dan gagal membayar gaji akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kerja 1955.

Ini menyusul laporan FMT bahawa sebuah syarikat di Cheras, yang mengambil 94 pekerja Bangladesh, gagal memberikan pekerjaan, tempat tinggal sesuai atau makanan mencukupi.

Saifuddin dan Sim berkata, syarikat sedemikian juga akan berdepan tindakan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 kerana gagal menyediakan penginapan sewajarnya dan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Mereka berkata, surat kelulusan dan baki kuota syarikat itu untuk pekerja asing akan dibatalkan, selain disenaraihitamkan daripada mengambil pekerja asing kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.