Kerajaan tak patut jadi pihak takrif ‘maklumat palsu’, kata kumpulan media

Kerajaan tak patut jadi pihak takrif ‘maklumat palsu’, kata kumpulan media

Setiausaha Agung NUJ, Teh Athira Yusof berkata majlis media akan mempromosikan pendekatan pihak berkepentingan yang lebih pelbagai.

Jabatan Penerangan mengehadkan tempoh sah laku kad perakuan pengamal media dalam talian yang baharu didaftarkan kepada enam bulan bagi mengekang maklumat palsu.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi media mengulangi gesaan untuk majlis media ditubuhkan susulan langkah mengehadkan tempoh sah pas wartawan dari beberapa media kerana kerajaan tidak patut menjadi satu-satunya pihak yang menentukan takrif “maklumat palsu”.

Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Teh Athira Yusof berkata, penting untuk istilah “maklumat palsu” digunakan tanpa berat sebelah.

“Kami memerlukan sebuah majlis media secepat mungkin kerana perlu ada pendekatan lebih pelbagai dan pelbagai pihak untuk menentukan takrif maklumat palsu.

“Badan bebas, seperti organisasi wartawan dan kumpulan masyarakat sivil, perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk mengenal pasti serta menangani maklumat palsu bagi memastikan persekitaran media yang adil, tidak berat sebelah dan kondusif,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Jabatan Penerangan mengehadkan tempoh sah laku kad perakuan bagi pengamal media dalam talian yang baharu didaftarkan kepada enam bulan bagi mengekang penyebaran maklumat palsu, selain untuk memastikan syarikat media itu beroperasi secara aktif dan sahih.

Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, Wathshlah Naidu berkata, membenarkan kerajaan menentukan secara eksklusif takrif maklumat palsu boleh membawa kepada penyalahgunaan pas media untuk menutup mulut pengkritik.

“Majlis media boleh memikul tanggungjawab ini dan merangka tatakelakuan. Pendekatan ini menghalang mana-mana kerajaan berkuasa daripada menentukan kebenaran laporan media.”

Katanya, tempoh sah laku enam bulan tidak cukup untuk menilai dengan tepat sama ada media baharu itu menyebarkan maklumat palsu.

Beliau berkata, mengehadkan akses media berdasarkan pematuhan kod etika dan menilai sama ada mereka menyebarkan maklumat palsu merupakan penggunaan kuasa melampaui batas oleh kerajaan ke atas media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.