
Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, Siti Hajar didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Dia didakwa membuat kenyataan itu di akaun Tiktok miliknya ‘SHA_Abrienda’ pada 1.20 petang, 6 Ogos lalu dan kenyataan itu didengar oleh seorang anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Siti Hajar didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar dan Christhoper Enteri Mawan manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zaiful Bahrin Kamde.
Zaiful kemudiannya memohon Siti Hajar dikenakan jaminan minimum dengan alasan anak guamnya adalah ibu tunggal dan perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah serta ibu bapanya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Khairatul membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Okt untuk serahan dokumen.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.
Semalam lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak di Kota Kinabalu, Sabah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pihaknya meneliti kertas siasatan kes kematian Zara Qairina, dan memutuskan untuk menuduh beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada.
AGC turut memaklumkan prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina. Mahkamah Koroner menetapkan 3 Sept untuk memulakan prosiding inkues.
AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar itu selepas meneliti laporan siasatan.