Kakak Bella direman disiasat sebar gambar kanak-kanak di TikTok

Kakak Bella direman disiasat sebar gambar kanak-kanak di TikTok

Polis berkata suspek ditahan selepas seorang wanita mendakwa gambar anaknya tersebar melalui siaran langsung di aplikasi TikTok.

Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah berkata Mahkamah Majistret membenarkan suspek yang juga kakak mangsa pembunuhan, Mila Sharmila Samsusah atau dikenali sebagai Bella direman selama sehari. (Gambar Bernama)
BATU PAHAT:
Polis menahan kakak kepada mangsa pembunuhan, Mila Sharmila Samsusah atau dikenali sebagai Bella, bagi membantu siasatan berhubung penyebaran gambar kanak-kanak berusia empat tahun di media sosial pada 2.10 pagi tadi.

Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah dalam kenyatan berkata suspek ditahan ketika memberikan keterangan di IPD Batu Pahat berhubung satu laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa gambar anaknya tersebar melalui ‘live’ atau siaran langsung di TikTok.

“Selain menahan suspek, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk aplikasi berkenaan.

“Wanita berusia 36 tahun itu kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat untuk permohonan reman dan Majistret Nurasidah A Rahman membenarkan suspek ditahan reman selama satu hari” katanya.

Ismail berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Sementara itu, suspek yang hadir ke Mahkamah Majistret Batu Pahat ditemani dua peguamnya Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.