Terima rasuah lebih RM5 juta, 4 penjawat awam direman

Terima rasuah lebih RM5 juta, 4 penjawat awam direman

SPRM turut beku 237 akaun bank hampir RM12 juta kerana disyaki terlibat sindiket penyeludupan tembakau, rokok, dan arak di sempadan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata sindiket itu mengakibatkan ketirisan hasil cukai kira-kira RM400 juta.
PETALING JAYA:
Empat penjawat awam direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok, dan arak di sempadan.

Susulan penangkapan itu, SPRM turut membekukan 237 akaun bank membabitkan wang kira-kira RM12 juta.

Semua suspek lelaki berusia antara 40 hingga 50an ditahan dalam operasi khas dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM), di sekitar Lembah Klang antara 11.30 pagi hingga 4 petang semalam.

SPRM turut masih mengesan seorang lagi individu.

“Dalam operasi yang dijalankan, SPRM telah menahan lapan individu termasuk empat penjawat awam yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket berkenaan sejak tahun 2018 hingga 2023.

“Setakat ini sindiket tersebut dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai dianggarkan kira-kira RM400 juta dan telah memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain,” menurut sumber.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 15 Mac terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

AML SPRM turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah dan kereta yang dianggarkan bernilai hampir RM6 juta dalam operasi tersebut.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

“Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen,” kata sumber itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman empat suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, SPRM juga akan memohon reman terhadap beberapa lagi suspek yang ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.