Pengarah IPTA direman berkait kerja bekal kain batik RM16,000

Pengarah IPTA direman berkait kerja bekal kain batik RM16,000

Suspek wanita usia 50-an disyaki melakukan perbuatan itu sekitar Ogos 2024.

macc sprm
Suspek perempuan berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sungai Petani.
PETALING JAYA:
Seorang pengarah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Kedah direman kerana disyaki menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi koperasi dengan melantik syarikat milik anaknya untuk kerja pembekalan kain batik bernilai kira-kira RM16,000.

Perintah reman selama lima hari hingga 10 Jan terhadap suspek dikeluarkan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Sungai Petani, pagi tadi.

Sumber berkata, suspek perempuan berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sungai Petani.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu sekitar Ogos 2024 di mana pembekalan kain batik tersebut bertujuan untuk pembuatan baju batik tenaga pengajar dan kakitangan institusi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Nazli Rasyid Sulong, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.