Disyaki makan suap lindung pekerja asing, 3 penguat kuasa antara direman

Disyaki makan suap lindung pekerja asing, 3 penguat kuasa antara direman

Seorang wanita yang juga isteri kepada seorang penguat kuasa turut ditahan dipercayai bantu urus dan menerima wang rasuah.

handcuff
Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie berkata kes berkenaan merupakan hasil kerjasama risikan dan operasi sama polis. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Tiga anggota penguat kuasa di Melaka antara empat individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan ada antara mereka disyaki menerima wang suapan bulanan melindungi pekerja asing tanpa izin.

Menurut sumber, semua suspek termasuk seorang wanita yang merupakan isteri kepada penguat kuasa terlibat, berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan di Pejabat SPRM Melaka dari 11.50 pagi hingga 4.50 petang, semalam.

Dua anggota penguat kuasa itu dipercayai menerima wang suapan secara bulanan daripada majikan atau syarikat sekitar Melaka sebagai balasan melindungi premis serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan menggaji pekerja asing tanpa izin atau tanpa permit kerja sah.

“Wanita terbabit disyaki bersubahat dengan suaminya iaitu membantu mengurus serta menerima wang suapan daripada majikan terlibat. Bayaran dibuat secara tunai melalui serahan tangan dan juga transaksi bank,” katanya menurut Bernama.

Seorang lagi penguat kuasa daripada jabatan sama ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada pengurus sebuah restoran sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap warga asing yang bekerja tanpa dokumen perjalanan yang sah awal tahun lepas.

Semua suspek direman sehingga 11 Jan selepas permohonan reman dibenarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes berkenaan merupakan hasil kerjasama risikan dan operasi sama polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.