
Setiausaha Agung Nazifuddin Najib dalam kenyataan berkata Suhardi sudah mendahului Jemaah Menteri, walaupun sedar menteri belia dan sukan sedang menyiapkan suatu kertas untuk diteliti Jemaah Menteri.
“Walaupun sekiranya kenyataan itu dibuat atas kapasiti peribadi, beliau telah menjejaskan usaha kami untuk menganjurkan suatu acara antarabangsa. Suhardi harus hormati rangkaian perintah.”
Awal hari ini, Suhardi membidas cadangan supaya Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 2026, menyifatkan ia sebagai berisiko dari segi kewangan dan tidak berfikir panjang.
Beliau menarik perhatian kepada keputusan Victoria, Australia menarik diri selepas kos penganjuran diunjur sekitar AUD7 bilion (RM21 bilion).
Suhardi juga berkata majlis perbandaran Birmingham berdepan masalah selepas ia menganjurkan Sukan Komanwel 2022.
Kritikan Nazifuddin terhadap Suhardi itu menyusuli penafian oleh Persatuan Badminton Malaysia terhadap dakwaan ia menolak untuk menganjurkan Piala Thomas dan Piala Uber 2026.
BAM menyifatkan dakwaan Suhardi sebagai “karut” dan mempersoalkan kenapa ia dibabitkan dalam perkara ini.
Nazifuddin seterusnya berkata Putrajaya wajar pertimbangkan penganjuran sukan itu kerana Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan pelaburan kewangan yang lumayan, iaitu sebanyak £100 juta (RM602 juta) untuk menyokong penyampaian di peringkat tempatan dan perancangan pewarisan bagi acara itu.
Beliau berkata dengan dana yang disediakan oleh CGF itu, diharapkan akan ada “imbuhan yang lumayan dalam bentuk jualan tiket, hak penyiaran, jualan dagangan, dan tajaan.”
Wang itu katanya boleh digunakan untuk membangunkan dan menanggung beberapa tempat yang digunakan untuk Sukan Komanwel.
“Sukan Komanwel juga akan mewujudkan ribuan pekerjaan, yang walaupun sementara, akan boleh melatih orang media tentang pengurusan projek, keraian, dan logistik,” katanya.