Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib, anak tangguh prosiding kebankrapan

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib, anak tangguh prosiding kebankrapan

Pesuruhjaya Kehakiman Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah menolak rayuan ambil kira tiada kemudaratan yang boleh mewajarkan penangguhan.

najib nazif
Prosiding itu dimulakan LHDN selepas bekas perdana menteri, Najib Razak dan anaknya, Nazifuddin, gagal lunas tunggakan cukai masing-masing sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan bekas perdana menteri, Najib Razak, dan anaknya, Nazifuddin, menangguhkan prosiding kebankrapan kerana gagal menyelesaikan tunggakan cukai masing-masing RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah menolak rayuan itu selepas mendapati tiada sebarang kemudaratan lain yang boleh mewajarkan penangguhan, lapor Berita Harian.

Beliau turut memerintahkan kedua-duanya membayar kos RM7,000 setiap seorang.

Perintah itu menegaskan keputusan terdahulu oleh Timbalan Pendaftar Kamarul Aris Kamalluddin yang menolak permohonan Najib dan Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka.

Hakim turut menolak hujahan bahawa prosiding perlu ditangguhkan kerana rayuan mereka sedang berjalan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dengan berkata rayuan itu tidak menghalang atau menggantung proses pemulihan cukai.

“Rayuan kepada LHDN tidak menghalang kewajipan untuk membayar. Tiada mudarat tidak dapat dipulihkan yang akan mewajarkan campur tangan mahkamah.”

Katanya, tiada petisyen kebankrapan difailkan walaupun notis kebankrapan disampaikan pada April 2021, justeru LHDN berhak teruskan tindakan lanjut.

Keputusan itu membuka laluan kepada LHDN meneruskan tindakan kebankrapan terhadap bekas perdana menteri dan anaknya, melainkan cukai tertunggak dilangsaikan.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili kedua-dua perayu berkata, beliau diarah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Najib merayu terhadap dua notis kebankrapan daripada taksiran cukai tambahan berjumlah RM1.46 bilion, yang sejak itu meningkat dengan penalti dan faedah kepada RM1.69 bilion.

Najib menegaskan taksiran cukai itu cacat dan tidak boleh dikuatkuasakan sementara perkara berkaitan sedang didengar di mahkamah lain.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan melalui LHDN memfailkan tuntutan terhadap Najib untuk membayar tunggakan cukai dengan faedah tahunan 5% dari tarikh penghakiman, bersama kos dan sebarang pampasan lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk membatalkan penghakiman ringkas Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar RM1.69 bilion dan RM37.6 juta cukai serta penalti belum dibayar.

LHDN mendakwa Najib gagal membayar cukai pendapatan dari 2011 hingga 2017 dalam tempoh 30 hari tarikh notis taksiran dikeluarkan LHDN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.