
Nazifuddin Najib berkata, pelbagai usaha dilakukan dan pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pertimbangan meringankan hukuman Najib bagi membolehkannya kembali ke pangkuan keluarga.
“Sepanjang bertahun-tahun itu, kita tahu naik turun mahkamah bukan satu perjalanan yang senang. Namun, sehingga hari ini parti, rakan-rakan ‘Bossku’ serta pemimpin negara dan kerajaan tidak pernah meninggalkan Bossku. Jadi, usaha itu perlu diteruskan.
“Kita sudah buat sehabis baik dan kita tahu harapan itu terletak pada kuasa Tuanku Agong. Kita berharap dengan kebijaksanaan Tuanku, baginda dapat membuat keputusan untuk membantu,” katanya ketika ditemui media sempena Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Ketua Umno Langkawi itu berkata, keluarganya memberi sepenuh kepercayaan kepada peguam untuk menjalankan proses sepatutnya.
“Mengenai apa yang akan berlaku seterusnya, tiada petisyen baharu. Ia akan mengikuti proses biasa. Apa yang akan berlaku selepas ini bergantung keputusan raja,” katanya.
Najib, 72, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International.
Beliau memohon untuk menjalani baki hukuman bawah tahanan rumah, tetapi mahkamah memutuskan tiada mekanisme undang-undang untuk tujuan itu.
Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan dasar di PAU, Presiden Zahid Hamidi menepis dakwaan beliau melupakan semangat setiakawan terhadap Najib, yang juga bekas perdana menteri.
Katanya, Umno turut memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya mempertimbangkan meringankan hukuman Najib bagi membolehkannya kembali ke pangkuan keluarga.