Muhyiddin harap tiada lagi wakil rakyat PN alih sokongan selepas konvensyen

Muhyiddin harap tiada lagi wakil rakyat PN alih sokongan selepas konvensyen

Muhyiddin Yassin berkata wakil rakyat PN yang menemuinya nafi akan mengikuti langkah Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata semua wakil rakyat gabungan itu yang menghadiri konvensyen khas hari ini ‘menunjukkan komitmen’.
KUALA LUMPUR:
Muhyiddin Yassin berharap tiada lagi wakil rakyat Perikatan Nasional beralih sokongan selepas konvensyen khas membabitkan Ahli Parlimen, Adun, dan senator gabungan itu hari ini.

Susulan peralihan sokongan Adun Selat Klang baru-baru ini, pengerusi PN itu berkata ramai wakil rakyat gabungan itu menemuinya dan menafikan akan ikut langkah bekas ketua Bersatu Selangor itu.

“Harapan kita begitu kerana yang hadir semua hari ini menunjukkan komitmen,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Wakil Rakyat PN 2024.

Muhyiddin percaya pindaan pada perlembagaan Bersatu memberi isyarat jelas kepada semua wakil rakyat parti itu.

Setakat ini semua Ahli Parlimen dan Adun yang beralih sokongan adalah daripada Bersatu, yang mana Muhyiddin presidennya.

“Nampak kedudukan kita masih kukuh dan kita dah meluluskan pindaan perlembagaan. Itu bermakna sudah bagi satu isyarat yang besar kepada semua, dan dalam kalangan kita, dan lain-lain.”

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim iaitu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Baru-baru ini, Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari, mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Bersatu pada 2 Mac lepas meminda perlembagaannya bagi membendung wakil rakyat parti itu daripada memberi sokongan kepada pihak lawan.

Mengulas perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata beliau akan bertemu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada Isnin untuk menyerahkan pindaan perlembagaan Bersatu.

Beliau akan diiring Setiausaha Agung Hamzah Zainudin.

“Kita akan jumpa dan berharap JPPM akan beri pertimbangan yang adil dan beri kelulusan yang adil dan dapat beri kelulusan secepat mungkin,” katanya

Berhubung konvensyen hari ini, Muhyiddin memaklumkan sebanyak 20 resolusi dimuktamadkan, antaranya perkukuh perpaduan dalam kalangan komponen PN dan perkasa penyusunan strategi dan gerak kerja parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.