
Hakim Vazeer Alam Mydin Meera yang mengetuai panel tiga hakim berkata, Mahkamah Tinggi melakukan kekhilafan yang boleh dirayu dan memerlukan campur tangan.
Berikutan itu, katanya, mahkamah membenarkan rayuan berkenaan dan membatalkan hukumannya.
Turut bersidang bersamanya, Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah.
Pada 2021, Hakim Nazlan Ghazali yang kini di Mahkamah Rayuan, mendapati Isa bersalah atas sembilan tuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta pada 2021, dan menjatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.4 juta.
Vazeer berkata, pihak pendakwa membentangkan dua naratif berbeza bagi kes mereka.
Katanya, tuduhan dan pernyataan pembukaan pendakwaan mendakwa suapan itu ganjaran kepada Isa kerana membantu mendapatkan kelulusan bagi pembelian hotel itu daripada Merdeka Palace Hotel & Suites.
“Bagaimanapun, sepanjang perbicaraan, naratif ditukar kepada ‘dorongan’ supaya perayu (Isa) tidak masuk campur dalam kontrak pembelian hotel itu,” katanya.
Vazeer berkata, persoalan kemudiannya timbul mengenai unsur Seksyen 16(a)(A) mana yang diyakini oleh hakim perbicaraan ketika memutuskan sama ada kes prima facie telah dibuktikan.
“Adakah (unsur) ‘ganjaran’ atau ‘dorongan’?” soalnya. Pendakwaan tidak boleh menukar fikiran di tengah-tengah kes, tambahnya.
Vazeer berkata, menurut undang-undang lazim, Isa mesti mendapat notis yang mencukupi mengenai kes terhadapnya, atau pembelaannya akan terjejas.
“Pendakwaan dalam kesnya mengemukakan dua versi bercanggah mengenai tujuan sebenar suapan. Ketaksaan yang timbul mesti diselesaikan dengan berpihak kepada perayu,” katanya.
Vazeer berkata, hakim perbicaraan juga telah salah arah apabila memutuskan bahawa kes prima facie dibuktikan berdasarkan keterangan ahli perniagaan Ikhwan Zaidel, bekas pengarah hotel itu.
Katanya, hakim khilaf apabila berpendapat Ikhwan memberikan suapan itu kerana bimbang Isa, sebagai pengerusi, mempunyai pengaruh terhadap kontrak itu.
Menurut kes pendakwaan juga, Isa mengarahkan pegawai khasnya, Zahid Arip mengutip wang daripada Ikhwan, namun Vazeer berkata, Ikhwan memberitahu mahkamah bahawa Isa tidak pernah secara langsung meminta sebarang suapan.
“Malah, Isa memberitahu Ikhwan bahawa dia hanya boleh membentangkan kepada lembaga pengarah Felda Investment Corp Sdn Bhd untuk kelulusan pembelian itu,” katanya.
Vazeer menambah, Zahid bukanlah saksi pendakwaan yang boleh dipercayai kerana terdapat percanggahan material dalam keterangannya.
“Dapatan hakim perbicaraan bahawa Isa menuntut bayaran melalui Zahid, dan Ikhwan membuat sembilan pembayaran, tidak dibuktikan oleh keterangan yang boleh dipercayai,” katanya.
Katanya, keterangan hanya menunjukkan bahawa Ikhwan membuat pembayaran kepada Zahid, namun tiada bukti Isa menerima wang tersebut.
“Oleh itu kami mendapati secara keseluruhannya, sabitan kesemua sembilan tuduhan (terhadap Isa) tidak kukuh,” katanya.
Salehuddin Saidin, Siti Sarah Khalil, Hafizuddin Salehuddin dan Afifuddin Ahmad mewakili Isa selaku peguam.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu pemberita bahawa beliau menunggu arahan daripada pihak atasannya sama ada akan merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.