Indira gagal kemuka keterangan baharu berkenaan bekas suami

Indira gagal kemuka keterangan baharu berkenaan bekas suami

Mahkamah Rayuan putuskan keterangan berhubung dakwaan Riduan Abdullah terima skim bantuan kerajaan takkan jejas keputusan rayuan.

indira
M Indira Gandhi mohon Mahkamah Rayuan batal keputusan Mahkamah Tinggi tolak samannya bernilai RM100 juta terhadap polis dan kerajaan, dua tahun lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan ibu tunggal M Indira Gandhi bagi mengemukakan keterangan baharu berkenaan lokasi bekas suaminya yang menculik anak bongsu mereka 17 tahun lalu.

Utusan Malaysia melaporkan, panel tiga hakim yang dipengerusikan Zaini Mazlan memutuskan sebulat suara bahawa permohonan itu gagal memenuhi syarat penerimaan keterangan baharu.

Panel itu turut dianggotai Hakim Faizah Jamaludin dan Hakim Radzi Abdul Hamid.

Keterangan baharu yang dicadangkan merangkumi rekod menunjukkan Riduan Abdullah, sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, menerima bantuan BUDI95 dan SARA RM100.

Indira mengemukakan permohonan semasa perbicaraan rayuannya bagi menghidupkan semula saman RM100 juta terhadap polis dan kerajaan, atas tuduhan gagal mengesan Riduan dan memulangkan anak perempuan mereka, Prasana Diksa, kepadanya.

Dalam menyampaikan alasan ringkas mahkamah, Zaini menegaskan, keterangan terbabit hanya muncul selepas perbicaraan Mahkamah Tinggi selesai, memandangkan program bantuan tersebut tidak wujud pada masa itu.

“Penerimaan keterangan baharu adalah suatu budi bicara mahkamah dan digunakan secara berhati-hati. Tuntutan perayu (Indira) terhadap responden di Mahkamah Tinggi adalah berasaskan kepada dakwaan keingkaran responden dalam suatu tempoh yang ditetapkan, khususnya sehingga 27 Jan 2020.

“Pembelaan responden juga tertumpu kepada dakwaan keingkaran sehingga tarikh tersebut sahaja yang mana responden telah memperincikan setiap tindakan yang diambil sehingga tarikh berkenaan.

“Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi adalah berdasarkan keterangan dan fakta dalam tempoh tersebut,” katanya.

Zaini menambah, keterangan yang dicadangkan itu tidak berhubung kait dengan dapatan fakta Mahkamah Tinggi, dan juga tidak memenuhi keperluan bahawa ia mestilah memberi pengaruh material ke atas hasil kes.

“Pada pandangan kami, permohonan ini tidak menunjukkan sebarang keadaan yang membolehkan kami menggunakan budi bicara untuk menerima keterangan baharu tersebut,” kata hakim itu tanpa membuat sebarang perintah berhubung kos.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin tampil mewakili pihak responden, sementara Indira diwakili Rajesh Nagarajan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 24 April bagi menentukan tarikh keputusan rayuan Indira menentang penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak guamannya itu.

Mahkamah Tinggi pada 28 Jun 2024 sebelum ini menolak guaman Indira setelah mahkamah mendapati beliau gagal membuktikan kewujudan niat jahat di pihak polis.

Riduan menukar agama ketiga-tiga anak pasangan itu kepada Islam pada 2009 tanpa persetujuan Indira, sebelum mendapatkan hak penjagaan melalui mahkamah syariah.

Beliau kemudiannya melarikan Prasana pada tahun yang sama, ketika anak itu baru sahaja berusia 11 bulan. Dua anak mereka yang lain dipulangkan kepada Indira pada 2010.

Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa penukaran agama itu terbatal dan tidak sah, serta memerintahkan ketua polis negara menahan Riduan kerana mengingkari arahan Mahkamah Tinggi untuk memulangkan anak bongsunya kepada ibu mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.