Hukuman penjara 2 lelaki sebabkan kematian rakan dinaik 18 tahun

Hukuman penjara 2 lelaki sebabkan kematian rakan dinaik 18 tahun

Mahkamah Rayuan menukar hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap tertuduh selepas putuskan hakim terkhilaf apabila meminda tuduhan.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan menggantikan hukuman penjara lima tahun terhadap Chua Li Pin dan Song Chun Ru dengan hukuman penjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian rakan mereka pada 2019.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atas seorang pemandu lori dan seorang pekerja ladang kelapa sawit bagi kesalahan menyebabkan kematian rakan mereka pada 2019 dengan hukuman penjara 18 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan balas pendakwaan untuk mengetepikan sabitan terhadap Chua Li Pin dan Song Chun Ru di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan serta hukuman penjara yang dijatuhkan sebelum ini, dan menggantikannya dengan sabitan di bawah Seksyen 304(a) kanun sama.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Noorin berkata panel berkenaan memutuskan bahawa hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila meminda pertuduhan terhadap tertuduh kepada Seksyen 304(b).

Seksyen 304(a) memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan manakala Seksyen 304(b) membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Panel berkenaan, yang turut dianggotai Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid, mengeluarkan waran komital terhadap kedua-dua lelaki untuk menjalani hukuman mereka bermula hari ini.

Mereka sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM25,000 selain memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan.

Panel itu turut menolak rayuan yang dikemukakan oleh kedua-dua tertuduh terhadap sabitan dan hukuman masing-masing.

Chua, 46, dan Song, 42, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menyebabkan kematian Lee Meng Hun, 40, di hadapan Kebun Babike, Jalan Johor, Kampung Setia Jaya, Batu Pahat, Johor antara 4 petang hingga 10 malam pada 1 Dis 2019 hingga 2 Dis 2019.

Pada 6 Ogos 2023, Mahkamah Sesyen mensabitkan mereka di bawah Seksyen 304(b) dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Pada 3 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak rayuan pihak pendakwaan dan kedua-dua tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua lelaki pergi ke rumah Lee untuk menuntut hutang namun mangsa memaklumkan dia tidak mempunyai wang dan hanya mampu membuat bayaran selepas menjual motosikalnya.

Mereka kemudian membawa mangsa ke sebuah ladang kelapa sawit dan memukulnya dengan kayu serta batang besi.

Terdahulu, Noorin berkata penggunaan senjata dan tindakan menyerang bahagian kepala mangsa menimbulkan inferens yang tidak dapat disangkal bahawa kedua-dua tertuduh berniat untuk menyebabkan kecederaan yang berkemungkinan membawa maut.

Beliau juga berkata perlakuan mereka semasa serangan termasuk meninggalkan Lee dalam keadaan tidak berdaya menyokong inferens bahawa kedua-dua tertuduh tidak mengambil kira kesan maut daripada tindakan itu.

Pada prosiding hari ini, peguam Chong Yik Loong dan Chin Kut Hee mewakili kedua-dua tertuduh manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.