Bangkai helikopter terhempas dikeluarkan dari perairan Pulau Angsa

Bangkai helikopter terhempas dikeluarkan dari perairan Pulau Angsa

Ketua pengarah Maritim Malaysia berkata, operasi itu dilakukan dengan bantuan syarikat penyelenggaraan pesawat udara agensi itu kira-kira 12.15 tengah malam tadi.

Bangkai helikopter AW139 M72-01 dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang, sebelum ke Stesen Udara Maritim Subang untuk tindakan lanjut. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terhempas di perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor semalam sudah dibawa naik.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Hamid Mohd Amin berkata, operasi itu dilakukan dengan bantuan syarikat penyelenggaraan pesawat udara agensi itu kira-kira 12.15 tengah malam tadi.

Katanya, pesawat itu dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang, kemudiannya ke Stesen Udara Maritim Subang pada 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

“Empat kru terlibat dalam insiden berkenaan dilaporkan stabil dan selamat.

“Mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut SOP ditetapkan pihak agensi semalam,” katanya dalam kenyataan di Facebook Maritim Malaysia.

Beliau meminta semua pihak memberi ruang dan tidak mengganggu kru terbabit bagi menstabilkan keadaan.

Untuk rekod, katanya, helikopter AW139 bernombor pendaftaran M72-01 itu satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia yang diterima daripada kerajaan pada 2010.

Ia mencatatkan rekod hampir 5,000 ribu jam penerbangan dan melaksanakan pelbagai misi penerbangan seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima dan Op Redback, selain terbabit pelbagai misi operasi dan menyelamat dikoordinasikan Maritim Malaysia.

Sepanjang 14 tahun perkhidmatan helikopter itu bersama Maritim Malaysia, katanya, ia pernah menyertai beberapa siri pemindahan perubatan di pulau atau pelantar minyak dalam perairan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.