
Namun keindahan cahaya itu tidak bertahan lama apabila setahun kemudian dia kehilangan bapa tercinta, menjadikan kehidupan keluarganya semakin sukar.
Kesempitan hidup memaksa Airee meninggalkan rumah pada usia sembilan tahun untuk menetap di rumah anak yatim kerana ibunya tidak dapat bekerja akibat masalah kesihatan.
Katanya, pengalaman itu menjadi fasa hidup yang mengajarnya erti rindu terhadap keluarga dan pentingnya berdikari.
Hanya pada usia 17 tahun dia kembali ke pangkuan keluarga, namun kepulangannya bukan untuk berehat, sebaliknya berdepan realiti kemiskinan yang masih membelenggu mereka.
“Ketika itu saya baru habis sekolah dan tidak ada duit untuk sambut raya. Mak cadangkan saya buat pelita buluh untuk cari pendapatan sendiri,” katanya kepada FMT.

Tanpa sebarang pengalaman, Airee bersama adiknya meredah hutan mencari buluh dan belajar sendiri cara menebuk lubang serta memasang sumbu bagi menghasilkan pelita.
Kini selepas lebih 15 tahun, lelaki berusia 37 tahun itu masih setia di bengkel kecilnya setiap kali Ramadan, menukar batang buluh menjadi pelita yang sering dikaitkan dengan kemeriahan Aidilfitri.
Bagi Airee, pelita buluh bukan sekadar kraf tradisional, sebaliknya menjadi titik permulaan hidupnya untuk berdikari dan mencari rezeki.
“Daripada pelita buluh inilah saya mula ada duit sendiri. Banyak kenangan dengan kerja ini. Disebabkan minat pada benda lama yang penuh nostalgia, saya teruskan sampai sekarang.
“Bagi saya, pelita buluh memang lambang Aidilfitri bagi orang Melayu. Kalau Krismas ada pokok krismas dan lampu kelap-kelip, kalau raya orang tahu ada pelita, lemang dan ketupat,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada Mei tahun lalu.

Namun katanya, menghasilkan pelita buluh bukanlah kerja mudah kerana ia memerlukan kemahiran di hutan serta keberanian berdepan risiko seperti ular dan lipan yang sering bersembunyi di kawasan buluh.
Malah teknik menebang buluh juga perlu dilakukan dengan betul kerana batangnya yang melentur boleh menyebabkan kecederaan jika tersilap langkah.
Dalam pada itu, Airee mengakui permintaan terhadap pelita buluh semakin merosot sejak empat tahun kebelakangan ini apabila ramai memilih lampu diod pemancar cahaya (LED) sebagai hiasan raya.
“Kalau bukan Ramadan atau Aidilfitri, orang jarang jumpa pelita. Tetapi lampu LED ada di mana-mana.
“Dulu jualan pelita buluh boleh cecah RM15,000 sepanjang Ramadan, sekarang nak dapat balik modal pun susah,” katanya.
Menyentuh masa depan kraf tradisional itu, Airee mengakui sukar mencari pelapis jika generasi muda tidak mempunyai minat dan kesanggupan melakukan kerja yang memerlukan tenaga serta kesabaran.
“Kalau saya berhenti suatu hari nanti, mungkin di sinilah ia berakhir. Saya tak boleh paksa anak-anak kalau mereka tiada minat, tetapi saya harap tradisi ini akan terus kekal,” katanya.