
Harian Metro melaporkan Sureh Kumar Gopinathan, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, pekerja khidmat pelanggan itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki 32 tahun dengan memukul kepala dan tangannya menggunakan kayu hingga cedera di Jalan Pinang Raja, Taman Soga pada 6.40 petang 12 Dis lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau disebat, dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima aduan pergaduhan tiga lelaki, termasuk tertuduh yang bersenjatakan kayu, di mana seorang mangsa cedera di kepala dan tangan selepas dipukul tertuduh.
Terdahulu, peguam Safiah Abdul Aziz meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman paling minimum memandangkan anak guamnya akan mendirikan rumahtangga tidak lama lagi.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip berhujah mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal kerana senjata digunakan tertuduh boleh menyebabkan kematian.
Majistret kemudian mengenakan denda RM6,000 dan memerintah tertuduh dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda itu.