
Emraz Travel & Tours Sdn Bhd diwakili dua pengarahnya, pasangan suami isteri Zulkarnain Endut, 43, dan Mazuin Mustafa, 43, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Noor Hafiza Ishak.
Mengikut tuduhan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat, dengan Zulkarnain dan Mazuin selaku orang kena saman (OKS) berdepan 51 tuduhan kerana gagal mematuhi award TTPM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Seremban bagi tempoh 29 Mei hingga 13 Sept 2023.
Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shafiq Mahadi dan Suhana Mohd memohon jaminan RM2,000 bagi setiap tuduhan dikenakan terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
“Kes ini membabitkan 17 mangsa yang bakal jemaah umrah yang terpaksa menabung untuk menunaikan ibadah umrah.
“OKS juga turut berdepan kes yang sama di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak,” kata Suhana.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Hanif Hassan memohon jaminan dikurangkan RM100-RM150 bagi setiap tuduhan memandangkan jumlah ditawarkan bagi setiap tertuduh adalah sangat tinggi.
“Untuk makluman, anak guam saya tidak menjalankan operasi perniagaan dan lesen perniagaan juga ditamatkan. Mereka tidak mempunyai hasil pendapatan.
“Mereka juga sedang berusaha untuk membayar saman tersebut,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM500 bagi setiap tuduhan iaitu masing-masing diikat jamin RM8,500 dengan seorang penjamin.
Majistret kemudian menetapkan 25 April bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.